Residensi AVA dengan GDV RM664 juta kini sudah siap 75%, menurut UEM Sunrise | DagangNews Skip to main content

Residensi AVA dengan GDV RM664 juta kini sudah siap 75%, menurut UEM Sunrise

Gambaran artis bagi Residensi AVA di perbandaran Kiara Bay, Kepong
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 3 Nov - Dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) bernilai RM664 juta, pembinaan Residensi AVA melalui usahasama UEM Sunrise Berhad dengan Kumpulan Melati Ehsan, iaitu Mega (M) Legacy Sdn Bhd (MLSB), kini berada di tahap 75%.

 

Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah berkata Residensi AVA merupakan langkah pertama kumpulan untuk membangunkan perbandaran perdana Kiara Bay di Kepong dengan visi untuk menjadikannya ‘bandar 15 minit’ menjelang 2045.

 

“Majlis ‘topping out’ Residensi AVA pada hari ini juga merupakan pencapaian penting dalam membangunkan Kiara Bay sebagai perbandaran lestari dan destinasi kehidupan bandar yang meriah dan inklusif, sesuai bagi komuniti berbilang generasi, di samping mengukuhkan lagi kehadiran kami di Lembah Klang,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Kumpulan itu meraikan acara ‘topping out’ Residensi AVA, yang telah mencapai kemuncak dengan lengkapnya pembinaan lapisan bumbung di tingkat teratas.

 

Sejak pelancaran Residensi AVA pada tahun 2019, kumpulan itu berkata MLSB telah berdepan dan mengatasi pelbagai cabaran, termasuk pandemik COVID-19.

 

Namun begitu, katanya, majlis ‘topping out’ Residensi AVA ini memberi gambaran positif kepada daya tahan dan komitmen pembangunan 1.78 hektar terhadap matlamat penyerahannya pada suku ketiga 2024, sekali gus menyemai keyakinan dalam kalangan pemilik serta penduduk setempat.

 

 

 (Dari kiri) Pengarah SA Architects Sdn Bhd, Richard Sau; COO UEM Sunrise (Wilayah Tengah) dan EXCO MLSB, Liong Kok Kit; Pengarah MLSB, Tan Sri Yap Suan Chee; Pengerusi MLSB, Zaida Khalida Shaari; Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise dan Pengarah MLSB, Sufian Abdullah; EXCO MLSB. Datuk. Leong; dan Pengarah Pembinaan ORANGEBEAM, Datuk Indera Tun Putera Matin Ahmad Shah pada majlis ‘topping-out’ Residensi AVA.
(Dari kiri) Pengarah SA Architects Sdn Bhd, Richard Sau; COO UEM Sunrise (Wilayah Tengah) dan EXCO MLSB, Liong Kok Kit; Pengarah MLSB, Tan Sri Yap Suan Chee; Pengerusi MLSB, Zaida Khalida Shaari; Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise dan Pengarah MLSB, Sufian Abdullah; EXCO MLSB. Datuk. Leong; dan Pengarah Pembinaan ORANGEBEAM, Datuk Indera Tun Putera Matin Ahmad Shah pada majlis ‘topping-out’ Residensi AVA.

 

 

Pembangunan tersebut terdiri daripada dua menara 41 tingkat dengan 870 unit dengan harga bermula RM567,800, yang terdiri daripada pelbagai saiz pembinaan dari 813 kaki persegi hingga 1,285 kaki persegi.

 

Kemudahan yang ditawarkan termasuk kolam renang bersaiz Olimpik 50m, kolam rendaman, gelanggang badminton, gelanggang separa bola keranjang, dek yoga, dek langit serta pelbagai lagi.

 

Para penduduk Residensi AVA boleh melakukan aktiviti santai di Taman Metropolitan Kepong yang terletak berhampiran di samping menikmati pelbagai rangkaian perkhidmatan runcit di The Beat, sebuah ruangan komersial Kiara Bay yang bersambung terus dengan taman rekreasi berkenaan.

 

Pembangunan tersebut juga menawarkan akses mudah ke Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan Jalan Kepong, kedua-duanya bersambung terus ke lebuh raya lain seperti Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Lebuhraya Selayang-Kepong dan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP).

 

Terletak hanya 2km dari stesen MRT terdekat – Stesen MRT Jinjang, penduduk Residensi AVA boleh pergi ke pelbagai kawasan sekitar Lembah Klang menerusi laluan MRT Putrajaya.

 

Berikutan tempahan menggalakkan bagi Residensi AVA sebanyak 99%, syarikat berkenaan melancarkan fasa kedua Kiara Bay, Residensi ZIG pada September 2023.  - DagangNews.com