Resintech dijangka raih manfaat daripada usaha baik pulih infrastruktur air kerajaan | DagangNews Skip to main content

Resintech dijangka raih manfaat daripada usaha baik pulih infrastruktur air kerajaan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Okt - Resintech Berhad dijangka meraih manfaat daripada usaha kerjaan bagi memodenkan landskap paip air dan langkah membaik pulih infrastruktur paip menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

 

Pengarah Urusannya,  Datuk Dr Teh Kim Poo berkata, pemantapan semula infrastruktur paip air nasional dan sasaran agresif bagi mengurangkan kadar air tidak terhasil (NRW) memberikan peluang menarik untuk kumpulan itu.

 

"Sebagai penyumbang utama kepada peralihan infrastruktur ini, kami menjangkakan pertumbuhan pendapatan yang ketara pada tahun-tahun berikutnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menerusi rangka kerja RMK12, kerajaan telah menggariskan agenda komprehensif bagi program penggantian paip.

 

Inisiatif itu bertujuan untuk mengurangkan NRW dengan ketara daripada 34% pada 2020 kepada 25% menjelang 2025.

 

Usaha ini amat kritikal memandangkan anggaran 70% hingga 75% daripada NRW semasa adalah disebabkan oleh kebocoran, paip pecah dan kelengkapan yang rosak.

 

Sebagai pengeluar paip polietilena berketumpatan tinggi (HDPE) terbesar di Malaysia, Resintech berjaya menerima tempahan paip HDPE daripada Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) bernilai kira-kira RM15 juta.

 

Beliau berkata, ia mencerminkan peranan syarikat dalam penambahan infrastruktur air negara dan sehingga kini kumpulan itu beroperasi pada 80% kapasitinya bagi mengeluarkan paip HDPE.

 

Katanya, dengan permintaan yang begitu kukuh, syarikat itu juga meneroka peluang untuk mengembangkan kapasiti dan memasang mesin baharu di tujuh kilangnya iaitu dua di Selangor, dua di Sabah, dua di Sarawak dan satu di Indonesia.

 

"Prestasi luar biasa kami dalam mendapatkan kontrak dan peningkatan kewangan seterusnya mempamerkan daya tahan dan keupayaan Resintech dalam menavigasi landskap yang kompetitif.

 

"Kami berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang yang semakin berkembang yang timbul daripada baik pulih infrastruktur nasional," kata Kim Poo. 

 

Sementara itu, Resintech mencatat pertumbuhan 19.3% dari tahun ke tahun sebanyak RM25.2 juta untuk suku pertama berakhir 30 Jun 2023 (1QFY24), manakala untung bersih RM1.3 juta, lebih dua kali ganda daripada RM540,000 pada 1QFY22.- DagangNews.com