Resorts World Genting mulakan kempen pengambilan pekerja besar-besaran | DagangNews Skip to main content

Resorts World Genting mulakan kempen pengambilan pekerja besar-besaran

Resort World Genting

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 27 April - Destinasi percutian terkenal Malaysia, Resorts World Genting memulakan kempen pengambilan pekerja secara besar-besaran untuk berkhidmat dan menjadi sebahagian daripada organisasinya.

 

Kempen pengambilan pekerja tersebut dibuat seiring dengan pembinaan Taman Tema Genting SkyWorlds yang akan dibuka tidak lama lagi.

 

Ketua Taman Tema dan Pengalaman Resorts World Genting, Gregory Pearn berkata, pihaknya meletakkan sasaran untuk mengambil lebih daripada 1,500 individu berbakat dan pasukan sokongan untuk mengendalikan operasi taman tema berkenaan.

 

"Kempen pengambilan pekerja yang dianjurkan oleh Resorts World Genting telah melibatkan sesi uji bakat di serata negara untuk mencari pasukan penghibur secara langsung yang merangkumi penyanyi, penari, penghibur watak berkostum, pemuzik dan pelakon.

 

“Di samping mempunyai tarikan dan pengalaman yang bertaraf antarabangsa di Taman Tema Genting SkyWorlds, pihak kami akan sentiasa berusaha untuk menawarkan perkhidmatan pelanggan dan hospitaliti yang terbaik melalui interaksi yang diberikan oleh ahli pasukan kami yang bersemangat dan dinamik. Kami sedang mencari individu yang ceria, bersemangat dan berdedikasi untuk pasukan pembukaan kami.

 

"Ini merupakan peluang sekali seumur hidup dan kami tidak sabar untuk menyaksikan semua bakat yang kreatif di acara-acara pengambilan pekerja kami," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pembukaan Taman Tema Genting SkyWorlds merupakan fasa terakhir Pelan Pelancongan Bersepadu Genting (GITP) yang telah dilancarkan pada tahun 2013.

 

Baca: Pelaburan lebih AS$800 juta, Genting SkyWorlds tampilkan pengembaraan 9 'alam'

 

Ia merupakan satu perancangan induk 10 tahun untuk membangun, memperluas, menaik taraf serta membaik pulih hotel-hotel, taman tema dan infrastruktur di Resorts World Genting.  

 

Dengan pembukaan taman tema berkenaan, Resorts World Genting terus bersedia untuk memacu pemulihan ekonomi negara dalam industi pelancongan, riadah dan hospitaliti.

 

Mengulas lanjut berkaitan kempen pengambilan pekerja itu, beliau memberitahu, calon-calon yang berjaya akan berpeluang untuk bekerja dengan hak intelek filem-filem antarabangsa yang masyhur.

 

Katanya, calon akan diberikan pakej gaji dan faedah yang menarik termasuk penginapan, elaun makanan, latihan pekerjaan dan peluang pengembangan karier.

 

"Calon-calon yang berjaya berpeluang untuk bekerja bersama pasukan antarabangsa bertaraf tinggi, dengan prospek untuk menyertai dan meneroka unit-unit perniagaan lain yang berkaitan dengan pusat peranginan tersebut," ujar beliau. - DagangNews.com