Revenue Monster-GrabExpress tingkatkan servis penghantaran PKS menerusi 'à la carte' | DagangNews Skip to main content

Revenue Monster-GrabExpress tingkatkan servis penghantaran PKS menerusi 'à la carte'

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Okt. - Syarikat teknologi kewangan, Revenue Monster Sdn. Bhd. bekerjasama dengan perkhidmatan penghantaran, GrabExpress bagi memperkasa perkhidmatan penghantaran buat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan.

Menerusi kerjasama berkenaan, Revenue Monster akan menambahkan perkhidmatan GrabExpress ke dalam platform kedai dalam talian mereka, à la carte sebagai penyelesaian penghantaran baharu bagi perkhidmatan tersebut

Ini sekali gus membolehkan peniaga menggunakan perkhidmatan à la carte untuk menjual barangan makanan atau produk lain secara digital dan menggunakan GrabExpress bagi perkhidmatan penghantaran.

 

Amanda Chin
Amanda Chin

 

Mengulas mengenai kerjasama tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Revenue Monster, Amanda Chin berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) telah mendorong usahawan untuk beralih ke sistem dalam talian terutamanya melibatkan sektor peruncitan dan makanan. 

“Ia kini sangat penting untuk membantu usahawan-usahawan mentransformasi perniagaan ke dalam talian dan di sinilah à la carte memainkan peranannya.

“À la carte merevolusikan proses pendigitalan perniagaan dengan menyediakan alatan yang diperlukan bukan sahaja mampu bertahan ketika waktu mencabar ini tetapi juga berkembang melaluinya. 

“Sekarang dengan adanya GrabExpress, peniaga kami boleh berhubung dengan lebih ramai pelanggan dan seterusnya meningkatkan aliran pendapatan mereka,” kata Chin dalam satu kenyataan.

Menerusi tawaran kedai dan sistem menu digital dengan pantas, à la carte membolehkan kedai fizikal untuk beralih ke platform digital dan menggunakan pelbagai pilihan operasi termasuk dari kedai (walk-in), pandu lalu, pengambilan dan penghantaran. 

Dalam masa sama, platform itu turut menyelaraskan proses pembayaran dengan 15 kaedah pembayaran - termasuk semua e-dompet utama serta kad debit dan kredit.

Peniaga juga dapat mengunakan sistem generasi URL unik à la carte untuk memanfaatkan pangkalan pengguna dalam talian yang lebih meluas melalui pemasaran media sosial di Facebook, Instagram, WhatsApp dan sebagainya.

Perkhidmatan à la carte kini ditawarkan secara percuma tanpa bayaran langganan atau yuran pengendalian.

“Dengan à la carte, kami telah mencipta perkhidmatan yang sangat diperlukan oleh mana-mana perniagaan yang ingin menjual secara digital. Sekarang kami telah membina ekosistem yang kuat di sekelilingnya supaya kedua-dua, peniaga dan pengguna dapat memperoleh akses kepada pilihan penghantaran yang lebih lancar," tambah Chin. 

Sementara itu, Ketua GrabExpress Malaysia, Zafira Azahar berkata, melalui kerjasama itu, pihaknya dapat menyokong perniagaan tempatan untuk terus berkembang maju melalui platform digital dengan penyelesaian penghantaran yang telah dipertingkatkan.

“Kami percaya akan kekuatan kerjasama untuk menghubungkan jutaan pengguna dengan pemandu, peniaga, dan perniagaan dengan selamat dan selesa,” ujar beliau. - DagangNews.com