Rex Industry lupus dua hartanah bernilai RM41.8 juta di Pulau Pinang | DagangNews Skip to main content

Rex Industry lupus dua hartanah bernilai RM41.8 juta di Pulau Pinang

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 10 Nov - Rex Industry Berhad, menerusi anak syarikatnya, Rex Canning Co. Sdn akan melupuskan dua hartanah bernilai RM41.8 juta di Pulau Pinang.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Rex berkata anak syarikatnya itu telah memeterai perjanjian jual beli bersyarat pada 10 November 2023 dengan SkyDorm Industries Sdn Bhd.

 

Kumpulan itu berkata ia akan melupuskan hartanah pertama yang berkeluasan 24,377 meter persegi berserta kilang minuman dan pengetinan, gudang dan bangunan pejabat tiga tingkat, sementara hartanah kedua berkeluasan 7,051 meter berserta bangunan yang didirikan di atasnya.

 

Tambahnya, jumlah pertimbangan pelupusan sebanyak RM41.80 juta dipenuhi sepenuhnya melalui tunai.

 

Mengulas lanjut, Rex berkata cadangan pelupusan adalah selaras dengan pelan rasionalisasi perniagaan kumpulan yang berhasrat untuk mengurangkan kos operasi perniagaan keseluruhannya serta memperbaiki kedudukan kewangannya pada masa hadapan.

 

Tambahnya, pada 2 Jun 2023, kedua-dua hartanah tersebut ditamatkan operasinya dan mengagihkan semula sumber syarikat (iaitu tenaga kerja dan jentera yang dikenal pasti) kepada dua kemudahan pengeluarannya yang lain di Jawa Timur, Indonesia dan Batu Pahat, Johor.

 

"Kumpulan mungkin mengiktiraf jangkaan keuntungan daripada pelupusan sebanyak RM19.02 juta. Selain itu, Lembaga Pengarah juga bercadang untuk menggunakan kira-kira RM21.05 juta daripada hasil pelupusan untuk membayar balik pinjaman bank (berjumlah RM21 juta).

 

"Selanjutnya, hasil pelupusan juga akan membolehkan kumpulan memenuhi keperluan modal kerja segera termasuk antara lain, pembelian bahan mentah dan pembungkusan; pembelian barang siap dan perbelanjaan operasi am," jelasnya.

 

Saham Rex ditutup kekal pada 11.5 sen dengan permodalan pasaran sebanyak RM75.6 juta. - DagangNews.com