RHB Investment hentikan liputan ke atas saham GDEX berikutan kerugian berterusan sejak 1QFY22 | DagangNews Skip to main content

RHB Investment hentikan liputan ke atas saham GDEX berikutan kerugian berterusan sejak 1QFY22

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Feb - RHB Investment menghentikan liputan ke atas GDEX Bhd selepas kumpulan itu terus mencatatkan kerugian bagi tujuh suku tahunanan secara berturut-turut bermula suku 1QFY22. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, pihaknya mengekalkan pandangan bahawa halangan dalam sektor penghantaran jarak jauh mungkin berterusan menyebabkan margin keuntungan kumpulan itu berada dalam tekanan akibat saingan harga berterusan.

 

Katanya, pada masa sama, permintaan menjadi lemah akibat perniagaan runcit fizikal sudah kembali beroperasi seperti biasa. 

 

"Prospek industri perkhidmatan kurier kekal suram, kerana persaingan harga yang sengit didorong kemunculan pemain pasaran dalam talian," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan kerugian bersih kali pertama iaitu pada 1QFY22 sebanyak RM1.9 juta berbanding keuntungan bersih RM5.58 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Bagi tempoh itu, pendapatan juga susut 13.2% kepada RM91.9 juta, daripada RM105.81 juta bagi tempoh sama tahun kewangan 2021berikutan pendapatan daripada segmen perkhidmatan kurier adalah lebih rendah pada suku berkenaan, berjumlah RM82.4 juta, susut 14.6%.

 

Bagi 3QFY23, kumpulan itu mencatatkan kerugian sebanyak RM8.16 juta berbanding RM6.57 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

 

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2023 (9MFY23), kerugian kumpulan itu terus melebar kepada RM26.71 juta pada 3QFY23 berbanding rugi bersih RM12.02 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun kerajaan memberikan komitmen untuk menangani kos operasi dan saingan yang tidak kompetitif namun sehingga kini masih belum ada sebarang langkah yang memberi kesan atau insiatif konklusif diumumkan.

 

Saranan terakhir RHB Investment terhadap kumpulan itu ialah 'jual' dengan harga sasaran (TP) 12 sen sesaham.- DagangNews.com