RHB Investment jangka pendapatan Duopharma didorong perolehan yang stabil, peningkatan permintaan daripada pengguna | DagangNews Skip to main content

RHB Investment jangka pendapatan Duopharma didorong perolehan yang stabil, peningkatan permintaan daripada pengguna

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Mei - RHB Investment menjangkakan pendapatan Duopharma Biotech Berhad didorong oleh perolehan ubat yang stabil, permintaan pengguna yang semakin meningkat dan potensi sinergi yang dijana daripada syarikat pelaburannya.

 

Firma itu berkata, pendapatan suku pertama 2023 kumpulan itu adalah melebihi jangkaan dipacu kehadiran orang ramai di hospital kerajaan dan swasta  yang mendorong peningkatan jualan produk farmaseutikal preskripsi yang lebih tinggi.

 

Katanya, segmen jualan tempatan menyaksikan pertumbuhan berdaya tahan sebanyak 6% dari tahun ke tahun, mungkin didorong oleh permintaan perolehan ubat yang mampan daripada sektor awam dan swasta. 

 

"Segmen jualan tempatan adalah 33% lebih baik daripada pada suku keempat 2022 kesan bermusim bersempena dengan tempoh penutupan akaun Kementerian Kesihatan menjelang akhir tahun" katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatat peningkatan untung bersih sebanyak 11.5% kepada RM22.6 juta pada suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23) berbanding RM20.3 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

Pendapatan syarikat pada suku ini juga telah meningkat 7.8% kepada RM200 juta berbanding RM186 juta sebelumnya.

 

Firma itu tidak membuat sebarang perubahan kepada unjuran pendapatan kumpulan ketika ini.

 

Firma itu mendapatkan kejelasan yang lebih baik tentang pandangan dan kemas kini syarikat selepas taklimat penganalisis akan datang.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli dengan harga sasaran (TP) RM1.75 sesaham," katanya. - DagangNews.com