KUALA LUMPUR 26 Mei - MBM Resources kekal berdaya tahan dalam suku-suku mendatang dipacu oleh permintaan kukuh yang berterusan untuk kenderaan Perodua, menurut RHB Investment.
“Kami terus meramalkan jualan rekod sebanyak 320,000 unit untuk Perodua tahun ini, di mana dalam empat bulan pertama sebanyak 97,000 unit terjual daripada sasaran 314,000 unit pembuat kereta itu sendiri untuk FY23.
“Kami mendapati bahawa tempoh menunggu minimum masih pada dua hingga tiga bulan bagi semua model Perodua, dengan beberapa kenderaan yang ditempah mengambil masa lebih enam bulan untuk disiapkan,” katanya dalam nota hari ini.
Dengan kos berkemungkinan terkawal disebabkan kekangan rantaian bekalan yang semakin berkurangan, firma penyelidikan itu berpendapat sumbangan bersekutu MBM Resources daripada Perodua dapat terus memacu pendapatannya.
Mengulas mengenai pendapatan kumpulan dalam suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23), RHB Investment berkata ia sejajar dengan anggaran tahun penuhnya pada 28% dan mengatasi unjuran Street sebanyak 32%, justeru unjuran pendapatan dikekalkan.
Firma itu berkata, kos Perodua berkurangan memandangkan rantaian bekalan bertambah baik sekali gus meningkatkan sumbangan syarikat bersekutu.
“Semakan saluran kami menunjukkan permintaan kukuh yang berterusan untuk kenderaan Perodua, mungkin disebabkan pengguna memilih alternatif murah dan terdapat pelancaran model baharu, menyokong jangkaan tahun yang kukuh untuk jenama itu,” tambahnya.
RHB Investment berpendapat bahawa pendapatan MBM Resources harus kekal berdaya tahan pada suku-suku akan datang dan boleh membawa kepada hasil dividen yang lumayan kira-kira 10% untuk FY23.
Walaupun pendapatan kumpulan merosot 15% suku ke suku (QoQ), keuntungan bersihnya meningkat 40% QoQ, terutamanya hasil peningkatan 40% dalam sumbangan syarikat bersekutu.
Sebahagian sumbangan bersekutunya adalah daripada Perodua dan telah meningkat 40% QoQ, walaupun volum jualan Perodua menyusut 8% QoQ, disebabkan masalah bekalan berkurangan telah membawa kepada pengurangan kos, jelasnya.
Firma itu mengekalkan saranan beli dengan harga sasaran (TP) RM5 sesaham.
Saham MBM Resources ditutup RM3.46 pada sesi tengahari, menyusut 3 sen atau 0.9% dengan modal pasaran sebanyak RM1.35 bilion. -DagangNews.com