RHB Investment turunkan unjuran pendapatan KKB Engineering bagi FY23-23 berikutan projek kejuruteraan masih di peringkat awal | DagangNews Skip to main content

RHB Investment turunkan unjuran pendapatan KKB Engineering bagi FY23-23 berikutan projek kejuruteraan masih di peringkat awal

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 25 Mei - RHB Investment mengurangkan unjuran pendapatan KKB Engineering Berhad bagi tahun kewangan 2023 hingga 2025 (FY23-25) sebanyak 12 hingga 14% setelah mengambil kira garis masa lebih konservatif projek-projek kejuruteraannya.

 

Mengulas mengenai prestasi suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23) kumpulan, ia berkata keuntungan RM3.4 juta adalah di bawah anggaran dengan merangkumi hanya 12% daripada unjuran tahun penuh firma dan Street.

 

Menurut firma penyelidikan itu, sisihan negatif tersebut disebabkan oleh beberapa fabrikasi keluli dan pekerjaan pembinaan awam yang masih dalam peringkat awal.

 

“Kami menganggarkan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) pendapatan tiga tahun sebanyak 40%, disokong oleh prospek pekerjaan yang lebih baik daripada peningkatan perbelanjaan Petronas dan projek akan datang di Borneo seperti Lebuhraya Trans-Borneo,” ulasnya dalam nota hari ini.

 

Firma itu menganggarkan buku pesanan tertunggak KKB Engineering pada akhir April berjumlah kira-kira RM700 juta.

 

Sementara itu, kumpulan itu telah mengemukakan bidaan untuk projek bernilai RM1 bilion, di mana 80% adalah untuk pekerjaan berkaitan minyak dan gas manakala selebihnya adalah untuk kontrak kejuruteraan, pembinaan dan pembuatan yang keputusannya hanya akan diketahui pada separuh kedua tahun ini.

 

“Pelantikan KKB Engineering sebagai kontraktor utama perjanjian harga EPC platform kepala telaga standard untuk Sarawak Shell dan Sabah Shell Petroleum mungkin meletakkan kumpulan itu di hadapan apabila membida pekerjaan fabrikasi keluli daripada syarikat-syarikat minyak tersebut,” ulasnya.

 

Di samping itu, pekerjaan minyak dan gas yang diperoleh baru-baru ini daripada Sarawak Shell dan Samsung Engineering sepatutnya menyumbang secara positif pada suku-suku akan datang.

 

Menurut firma itu, sasaran P/E 17 kali bagi FY23 menghampiri purata tiga tahun Indeks Tenaga KL, untuk mencerminkan perbelanjaan minyak dan gas yang teguh oleh Petronas iaitu sekitar RM60 bilion setahun dari 2023 hingga 2027, yang mungkin memberi manfaat kepada fabrikasi.

 

Sasaran P/E ini juga disokong oleh suntikan ekonomi Kerajaan Negeri Sarawak yang dianggarkan sebanyak RM100 bilion menjelang 2030, yang mungkin menyokong pengembangan infrastruktur.

 

Dengan itu, KKB Engineering boleh mempunyai peranan strategik di Borneo, disokong oleh kunci kira-kira dengan kedudukan tunai bersih lebih RM200 juta.

 

RHB Investment mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) dikurangkan kepada RM1.80 sesaham daripada RM1.72. -DagangNews.com