RHB Investment unjur IBS beri kelebihan kepada Gamuda raih lebih banyak peluang pembinaan pusat data di Lemah Klang | DagangNews Skip to main content

RHB Investment unjur IBS beri kelebihan kepada Gamuda raih lebih banyak peluang pembinaan pusat data di Lemah Klang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Feb - Sistem Binaan Berindustri (IBS) diunjur memberi kelebihan kepada Gamuda Berhad untuk meraih lebih banyak peluang bagi pembinaan pusat data di Lembah Klang, kata RHB Investment.

 

Katanya, kumpulan itu memiliki dua kilang IBS satu terletak di Banting dan satu lagi di Sepang dengan jumlah kapasiti pengeluaran gabungan maksimum sebanyak 10,000 unit kediaman setahun. 

 

Dari segi kecekapan, keupayaan IBS kumpulan itu membolehkan pengurangan tempoh pembinaan sebanyak 50% dan 20% untuk bangunan tinggi dan bertanah.

 

"Kami difahamkan bahawa Gamuda sedang mengintai beberapa projek pusat data dalam Lembah Klang.

 

"Sekiranya kontrak pusat data menjadi lebih besar, kami percaya kumpulan itu boleh menggunakan sepenuhnya kedua-dua kilang IBS untuk menampung pesanan ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Menurut Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Pusat Data AIMS menganugerahkan kumpulan itu dengan projek bernilai RM170 juta bagi membina pusat data di Cyberjaya pada Februari 2023 dengan sasaran siap menjelang akhir tahun sama.

 

Walaupun tiada butiran tepat disebut oleh CIDB, RHB Investment percaya bahawa pusat data itu boleh menjadi pusat data 8MW AIMS Cyberjaya Block 2 dengan Gamuda menggunakan Rumusan Digital Next-Gen IBS.

 

"Dari segi keuntungan, projek seperti itu boleh memberikan margin untung kasar antara 10% hingga 12%," katanya.

 

Firma penyelidikan itu meningkatkan sasaran P/E mereka kepada 15x (daripada 14x) untuk cabang pembinaan Malaysia memandangkan prospek daripada pusat data.

 

Mereka juga menurunkan diskaun kepada nilai aset bersih sebenar (RNAV) kepada 50% daripada 60% daripada segmen hartanah mengambil kira Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura dan potensi LRT Johor Bahru yang mungkin memberikan jarak penglihatan yang baik untuk Horizon Hills di Iskandar Puteri di tengah-tengah peningkatan dalam trafik rentas sempadan.

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM6.46 sesaham," katanya. - DagangNews.com