RHB Research jangka Tasco catat pertumbuhan positif didorong permintaan tinggi, penerokaan segmen perniagaan baharu | DagangNews Skip to main content

RHB Research jangka Tasco catat pertumbuhan positif didorong permintaan tinggi, penerokaan segmen perniagaan baharu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 April - RHB Research menjangkakan Tasco Berhad akan mencatatkan pertumbuhan dari tahun ke tahun yang kukuh pada Q4FY22 berdasarkan kepada prestasi cemerlang yang ditunjukkan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, keputusan itu akan didorong oleh peningkatan permintaan dan kadar pengangkutan yang menguntungkan.

 

Pada masa sama, mereka juga berjaya mengekalkan momentum pendapatan positif walaupun berdepan cabaran pandemik COVID-19.

 

"Perkembangan itu juga didorong oleh pertambahan kapasiti, insentif cukai dan penerokaan bidang perniagaan baharu seperti makanan runcit, penjagaan kesihatan dan e-dagang," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, segmen penghantaran barang dilihat semakin positif dengan harga penghantaran semain meningkat dan disokong oleh permintaan daripada pelbagai pelanggan daripada pelbagai sektor ekonomi terutama segmen elektrik dan elektronik. 

 

"Kami menjangkakan Tasco memiliki kemudahan akses kepada ruang kargo bagi mendepani gangguan rantaian bekalan dalam memenuhi keperluan penghantaran pelanggan dan sokongan daripada rangkaian logistik NYK Line untuk menjadikan pertumbuhannya dalam keadaan stabil," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan jangkaan pendapatan Tasco dengan mengekalkan pendekatan konservatif.

 

"Kami mengekalkan saran 'beli' dengan harga sasaran baharu RM1.90 berbanding RM2.14 sebelum ini selepas mengambil kira risiko tinggi daripada luar melibatkan perniagaan itu.

 

"Bagaimanapun, saranan itu dibuat selepas melihat faktor pemulihaan permintaan penghantaran barang dan pebelanjaan operasi yang dijangka lebih tinggi daripada biasa," katanya. - DagangNews.com