RHB sumbang dua unit traktor berharga RM341,000 menyokong projek petani asnaf di Kedah | DagangNews Skip to main content

RHB sumbang dua unit traktor berharga RM341,000 menyokong projek petani asnaf di Kedah

Pengarah Urusan, RHB Islamic Bank Berhad, Datuk Adissadikin Ali (kiri) bersama Datuk Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman di majlis penyerahan sumbangan jentera pertanian.
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 6 Sept - RHB Islamic Bank Berhad menyalurkan zakat wakalah sebanyak RM341,000 untuk membeli dua unit traktor pertanian serta sebuah jentera pengangkut (forklift) bagi menyokong Projek Pembangunan Ekonomi Ummah (PPEU) di Kedah.

 

Selain itu, RHB Islamic turut memberi sumbangan zakat korporat sebanyak RM650,000 kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).

 

Menurut RHB, sumbangan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan RHB Islamic dalam menyokong inisiatif bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat asnaf, khususnya dalam sektor pertanian.

 

“PPEU merupakan inisiatif menyasar untuk memperkasakan komuniti petani asnaf dengan kerjasama LZNK selain daripada daripada Projek Smart Sawah Berskala Besar Asnaf (Smart SBBA).

 

“Kami menumpukan kepada pendekatan pembangunan ekonomi yang mampan, berlandaskan konsep ‘Dari Asnaf Kepada Asnaf’,” ujar RHB. 

 

Pengarah Urusan RHB Islamic Bank Berhad, Datuk Adissadikin Ali berkata, projek pembangunan ekonomi ummah itu seiring dengan dasar agihan Zakat Wakalah RHB Islamic, yang bertujuan memperkasakan sosio-ekonomi masyarakat asnaf. 

 

“Dengan menyediakan akses kepada teknologi pertanian yang lebih canggih, seperti traktor moden dan forklift, kami yakin petani asnaf akan dapat meningkatkan produktiviti dan hasil tanaman mereka, seterusnya menjana pendapatan yang lebih stabil,” ulasnya. 

 

Di samping itu, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Syeikh Zakaria Othman mengulas kerjasama itu dapat memberi manfaat kepada lebih ramai petani asnaf. 

 

“Sumbangan daripada RHB Islamic, kami dapat mengukuhkan usaha dalam mewujudkan kitaran ekonomi yang mampan dalam kalangan petani asnaf, sekali gus membina komuniti yang lebih berdikari dan sejahtera,” katanya.

 

Pada 2023, RHB Islamic Islamic telah menyumbang dua dron pertanian dan sebuah lori tipper di bawah Projek Smart SBBA, yang memberi manfaat kepada 84 petani asnaf di Kedah.

 

RHB Islamic berkata, inisiatif PPEU tahun ini memudahkan pengurusan bahan, meningkatkan produktiviti, mengurangkan risiko kerosakan serta menjimatkan kos operasi.

 

“Kami berharap langkah ini dapat memberikan impak positif kepada komuniti petani asnaf dan menyokong usaha LZNK dalam memajukan mereka serta mempromosikan pembangunan yang mampan,” ujarnya. 

 

Sementara itu, sebagai sebahagian daripada majlis penyerahan, RHB Islamic dan LZNK turut mengunjungi lima keluarga asnaf yang tinggal di kawasan persawahan serta menyerahkan sumbangan zakat secara terus kepada mereka.- DagangNews.com