Rhone Ma, Kulim meterai kerjasama bangunkan projek tenusu | DagangNews Skip to main content

Rhone Ma, Kulim meterai kerjasama bangunkan projek tenusu

Usaha sama ini menyasarkan pengeluaran 11 juta liter susu setahun. - Gambar hiasan

 

 

KUALA LUMPUR 22 Sept. - A2 Fresh Sdn. Bhd., anak syarikat pegangan 49% Rhone Ma Holdings Bhd. memeterai perjanjian usaha sama bersama pemegang saham dengan Kulim (Malaysia) Bhd. untuk membangunkan, mengendalikan dan menguruskan projek tenusu.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, Rhone Ma berkata, Kulim akan memegang 65% ekuiti dalam usaha sama tersebut manakala lagi 35% dimiliki A2 Fresh. 

 

Katanya, pihak yang terlibat menganggarkan pelaburan awal bagi projek itu akan meningkat sehingga RM41.39 juta tidak termasuk kilang pemprosesan susu yang akan dibiayai menerusi ekuiti dalam bentuk langganan saham oleh pemegang saham.

 

"Projek tenusu ini dibangunkan untuk meningkatkan pengeluaran susu negara dan mengurangkan kebergantungan kepada import. 

 

"Ia menyasarkan untuk meningkatkan pengeluaran sehingga 11 juta liter susu segar dalam setahun," katanya hari ini. 

 

Secara dasarnya, Rhone Ma terlibat dalam penyelesaian penjagaan kesihatan haiwan secara menyeluruh dan memiliki barisan profesional terdiri daripada pakar veterinar dan saintis.

 

Menurut syarikat itu lagi, perjanjian usaha sama itu membolehkan kumpulan mengembangkan perniagaannya dalam perniagaan penternakan tenusu di selatan Semenanjung Malaysia di samping memanfaatkan sumber kewangan Kulim. 

 

Usaha sama itu dijangka tidak memberi kesan kepada terbitan modal saham dan pemegangan saham utama, sebaliknya menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021. - DagangNews.com