Pengarah Urusan Kumpulan Richiamo Coffee, Mohd. Zamry Abu Samah (kanan) dan Naib Canselor UiTM, Prof. Dr. Roziah Mohd. Janor (dua dari kiri) menandatangani Memorandum Persefahaman sambil disaksikan Presiden OKU Sentral dan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Ras Adiba Radzi.
NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com
SHAH ALAM 22 Nov - Richiamo Coffee Sdn. Bhd., melaksanakan inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) dengan mewujudkan kerjasama bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi memperkasakan golongan orang kurang upaya (OKU).
Pengarah Urusan Kumpulan Richiamo Coffee, Muhammad Zamry Abu Samah berkata, inisiatif CSR yang dikenali sebagai Projek Keusahawanan Sosial direalisasikan dengan pembukaan tiga kafe Richiamo Coffee di dalam kampus UiTM.
“Projek ini merupakan yang pertama seumpamanya di institusi pengajian tinggi di negara ini untuk golongan OKU di mana kami membuka tiga cawangan Richiamo Coffee dibuka dengan kerjasama Unit Perkhidmatan OKU UiTM (UPO) sebagai rakan strategik rasmi,” katanya selepas memetrai Memorandum Persefahaman (MoU) di sini hari ini.
Turut hadir di majlis itu ialah Naib Canselor UiTM, Prof. Dr. Roziah Mohd. Janor dan Presiden OKU Sentral dan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Ras Adiba Radzi.
Tiga cawangan yang terlibat dalam projek berkenaan termasuk Attijarah UiTM Puncak Alam yang dibuka pada 1 Oktober lalu, Lobi Pejabat Rektor UiTM Puncak Alam dan Bangunan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin yang akan dibuka pada Disember tahun ini.
Muhammad Zamry berkata, pihaknya dan UPO bersetuju menyediakan 40 peratus pekerja sepenuh masa atau separuh masa terdiri daripada golongan OKU dan B40.
Sehingga 30 Oktober lalu, seramai tiga OKU sudah bekerja di Richiamo Coffee, Attijarah UiTM Puncak Alam.
Katanya, pihak UPO sudah menyediakan modul latihan untuk mempersiapkan pekerja-pekerja bukan OKU untuk menerima rakan OKU bekerja di bawah satu bumbung.
“Richiamo Coffee juga bersetuju untuk menyumbang sebahagian keuntungan dari ketiga-tiga cawangan di kampus UiTM itu disumbangkan ke Tabung Cakna OKU UiTM bagi pemerkasaan dan kebajikan OKU di UiTM,” ujarnya.
Pihaknya juga menyediakan latihan percuma kepada pekerja OKU dan B40 di semua cawangan kampus UiTM selain mereka berpeluang untuk mengembangkan karier ke cawangan lain.
Kerjasama itu juga membuka peluang mahasiswa OKU UiTM untuk menjadi pengusaha dan pemilik Richiamo Coffee pada masa hadapan.
“Richiamo Coffee sentiasa terbuka dan menyokong inisiatif ini bagi sama-sama memberi peluang untuk berkembang, malah selain dari UiTM kerjasama ini juga turut melibatkan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SMK Meru dalam projek transisi kerjaya murid berkeperluan khas (MBK) di Richiamo Coffee di bawah projek keusahawanan sosial.
"Kerjasama ini akan diluaskan ke PPKI di sekolah-sekolah lain dalam masa terdekat,” katanya.-Dagangnews.com