Keprihatinan RichWorks International Sdn. Bhd. terhadap mangsa banjir berjaya mengumpul sumbangan bagi membantu mangsa banjir yang terjejas.
KUALA LUMPUR 24 Dis - RichWorks International Sdn. Bhd. menyerahkan sumbangan kilat berjumlah RM500,000 daripada syarikat dan usahawan-usahawan di bawah bimbingan Mentor Usahawan, Datuk Wira Dr. Azizan Osman melalui Pertubuhan Kebajikan RichWell (RichWell), hari ini.
Menurut Naib Presiden Kewangan RichWorks, Nasrul Hadi Shukran Jamil, sumbangan tersebut diharap dapat membantu mangsa-mangsa banjir di sekitar Shah Alam yang terkesan apatah lagi ketika baru hendak pulih ekoran pandemik sejak tahun lalu.
Katanya, banjir yang berlaku pada 18 Disember lalu sebenarnya juga melibatkan pejabat RichWorks dan belasan kakitangan terkesan apabila kereta dan rumah ditenggelami air.
"Namun, kami faham pasti ada lagi ramai di luar sana lebih berat cabaran mereka hingga ada kehilangan ahli keluarga.
"Semoga sumbangan ini dapat berikan harapan buat penerima agar kembali bangkit daripada cabaran ini, insyaAllah," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Sumbangan itu diserahkan Nasrul Hadi kepada Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor mewakili Majlis Bandaraya Shah Alam di Wisma MBSA, Shah Alam.
RichWorks merupakan syarikat latihan dan bimbingan terbesar dan paling berjaya di negara, telah melatih lebih dari 10,000 syarikat menerusi Master Coach Datuk Wira Dr. Azizan Osman dan menarik lebih daripada 1.5 juta peserta dalam lebih 1,500 acara dan seminar live dan dalam talian.
RichWell merupakan pertubuhan kebajikan di bawah naungan RichWorks yang mana mensasarkan bantuan kemanusiaan, kebajikan dan kemasyarakatan sejak 2008 lagi.
Tambah Nasrul, jumlah kutipan itu dapat dikumpulkan dalam tempoh 24 jam setakat ini.
"Alhamdulillah, usahawan didikan RichWorks bersama-sama dengan mangsa banjir untuk hulurkan tangan bagi membantu.
"Dalam rezeki kita ini, adanya bahagian orang lain dan bisnes dijalankan juga bukan semata-mata untuk diri mereka sendiri seperti selalu diterapkan Datuk Wira," jelasnya lagi. - DagangNews.com