Rinani Group kuasai 5.85% pegangan dalam Malaysian Genomics | DagangNews Skip to main content

Rinani Group kuasai 5.85% pegangan dalam Malaysian Genomics

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 17 Julai - Malaysian Genomics Resource Centre Bhd, pakar genomik dan biofarmaseutikal terkemuka, mengumumkan Rinani Group Bhd menjadi pemegang saham besar dengan memperoleh 5.85% kepentingan bersamaan dengan 7.62 juta saham dalam kumpulan.

 

Pengerusi eksekutif kumpulannya, Azri Azerai berkata, pihaknya teruja untuk mempunyai Rinani sebagai pemegang saham yang besar. 

 

Katanya, kemunculan Rinani sebagai pemegang saham besar akan memainkan peranan penting dalam penstrukturan semula kumpulan dan fasa pertumbuhan seterusnya. 

 

"Pelaburan mereka datang pada masa yang penting ketika kami sedang beralih ke biofarmaseutikal dan meneruskan pelbagai inisiatif pertumbuhan.

 

"Penglibatan mereka membawa banyak peluang dalam sains hayat dan aplikasinya, yang sejajar dengan strategi pertumbuhan kami," katanya dalam kenyataan media.

 

Azri berkata, ketibaan Rinani sebagai pemegang saham besar mengukuhkan kedudukan kewangan dan kapasiti pihaknya untuk memanfaatkan peluang yang berkembang dalam sektor penjagaan kesihatan. 

 

"Bersama-sama, kami berada pada kedudukan yang lebih baik untuk menyampaikan nilai yang mampan kepada pemegang kepentingan kami," katanya.

 

 

rinani
                                          Azri Azerai

 

 

Inisiatif kumpulan baru-baru ini digariskan perjanjian pembekalan antara anak syarikat milik penuhnya, MGRC Healthcare Sdn Bhd dan DLF Engineering Pte Ltd.

 

Perjanjian ini memerlukan MGRC-H membekalkan DLF dengan ujian saringan genetik dan produk sel seperti sel stem mesenchymal khusus aplikasi, sel NK, eksosom dan rejuvium selama setahun, dengan potensi pembaharuan mengikut syarat yang dipersetujui bersama.


 
Sehingga 15 Julai 2023, harga saham MGRC berada pada 0.455 sen, mencerminkan modal pasaran sebanyak RM59.2 juta. - DagangNews.com