KUALA LUMPUR 6 Ogos - Maybank Investment Bank (Maybank IB) meramalkan ringgit akan mengukuh kepada RM4.45 berbanding setiap dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir tahun 2024 dan RM4.20 menjelang akhir 2025.
Firma penyelidikan itu berkata, ringgit yang berada dalam trend menaik apabila ditutup pada RM4.497 berbanding dolar AS pada 2 Ogos 2024, meningkat +6.7% dari paras rendah tahun ini iaitu RM4.7987 pada 20 Februari 2024.
"Peningkatan ini disokong oleh gabungan faktor seperti sentimen pasaran yang semakin baik di tengah-tengah prestasi ekonomi domestik dan asas makro yang semakin kukuh.
"Ini termasuk tesis kami mengenai kitaran pelaburan ketiga, serta prospek permulaan kitaran pemotongan kadar faedah oleh Fed AS pada September 2024
"Pasukan Penyelidikan FX (tukaran asing) kami kini meramalkan RM4.45 berbanding dolar AS menjelang akhir 2024 dan RM4.20 menjelang akhir 2025," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Pada tengah hari ini, Ringgit berada pada paras RM4.4675 berbanding dolar AS. Mata wang tempatan itu berada dalam momentum meningkatnya selama 11 hari berturut-turut sehingga 5 Ogos 2024.
Standard Chartered menerusi penyelidikannya menjelaskan Ringgit adalah satu-satunya mata wang yang naik berbanding dlar AS setakat tahun ini (YTD).
ARTIKEL BERKAITAN: Ringgit satu-satunya mata wang Asia naik berbanding dolar AS pada 2024 - Standard Chartered
Sementara itu, Maybank IB mengenengahkan Malaysia kini sedang melalui kitaran naik pelaburan ketiga yang mana gabungan bahagian pelaburan swasta dan awam daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) meningkat daripada paras terendah selepas pandemik baru-baru ini iaitu 19.7% pada 2022, kepada 21.3% pada suku pertama 2024.
Katanya, dua pusingan pelaburan sebelum ini menyaksikan bahagian pembentukan modal tetap kasar daripada KDNK melonjak daripada 22.1% pada 1987 kepada 49.2% pada 1997 dan daripada 21.7% pada 2009 kepada 26.6% pada 2013.
"Pelaburan semakin meningkat kerana pelaburan sektor swasta yang diluluskan yang kukuh sejak 2021 sedang direalisasikan mengikut arah aliran pelaburan swasta sebenar.
"Momentum yang meningkat dalam pelaburan direalisasi juga boleh dilihat daripada lonjakan import barangan modal terutamanya jentera dan kelengkapan pengangkutan, serta pecutan pertumbuhan pinjaman sistem perbankan untuk bangunan perindustrian, kilang, tanah, pembinaan dan modal kerja," jelasnya.
Mengenai kaitan ringgit dan kitaran pelaburan, Maybank IB berkata, mata wang itu cenderung meningkat berbanding dolar AS semasa tempoh kitar semula pelaburan.
"Dalam tempoh kitaran naik pelaburan pertama, mata wang tempatan meningkat daripada paras rendah RM2.7960 pada 13 Jun 1991, kepada paras tertinggi RM2.4365 pada 21 Jun 1995; keuntungan sebanyak 14.8%.
"Dalam tempoh kitaran naik pelaburan kedua, ringgit meningkat sebanyak 26.8% daripada paras rendah RM3.728 pada 2 Mac 2009, kepada paras tertinggi RM2.939 pada 27 Julai 2011.- DagangNews.com