Ringgit hampir tidak berubah, menjelang FOMC | DagangNews Skip to main content

Ringgit hampir tidak berubah, menjelang FOMC

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Mac - Menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS (FOMC) pada 16 dan 17 Mac ini, ringgit dibuka hampir tidak berubah pada RM4.1130/1190 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

 

HLIB Research menjangkakan ringgit akan terus mengukuh selepas beberapa kenaikan baru-baru ini sebelum melonjak lebih tinggi.

 

Walaupun firma penyelidikan itu mengekalkan saranan mengukuh tetapi masih wujud ketidaktentuan terutama menjelang mesyuarat FOMC minggu ini. 

 

"Ketidaktentuan tetap ada tetapi prospek dagangan dolar AS lebih berhati-hati memandangkan pelabur memerhati dengan rapat mesyuarat FOMC. 

 

"Ini terutama membabitkan pendirian Rizab Persekutuan AS mengenai inflasi dan hasil bon yang mungkin menyebabkan pergerakan lemah secara menyeluruh," katanya dalam nota kajian. 

 

Sehubungan itu, HLIB mengunjurkan ringgit akan diniagakan pada julat antara RM4.09 hingga RM4.15 berbanding dolar AS sepanjang minggu ini. 

 

Pada Jumaat lalu, ringgit dan kebanyakan mata wang Asia, sekali lagi terpaksa menerima impak peningkatan pulangan Perbendaharaan AS yang memberi tekanan kepada penurunan ringgit.

 

Mata wang tempatan itu ditutup rendah pada RM4.1160/1200 berbanding dolar AS daripada 4.1050/1100 yang dicatat pada penutupan Khamis.

 

Sementara itu, dalam aliran dana kewangan mingguan, MIDF Research berkata, di sebalik kelemahan dolar AS dan sentimen yang bertambah baik, mata wang serantau termasuk ringgit terus melemah bagi minggu berakhir 12 Mac lalu. 

 

Katanya, keadaaan itu disebabkan kebimbangan terhadap peningkatan hasil bon AS dan inflasi.

 

"Ringgit susut -1.1% kepada RM4.119 berbanding dolar AS (daripada RM4.075 pada minggu sebelumnya. 

 

"Paras ini adalah penutupan paling lemah dalam tempoh 4 minggu," katanya. 

 

Menurutnya, perubahan dalam kadar tukaran ringgit adalah sejajar dengan pergerakan harga minyak mentah apabila Brent jatuh kepada AS$67 setong pada 10 Mac 2021 sebelum berakhir dengan AS$69.22 setong pada Jumaat. 

 

"Bagaimanapun, harga minyak mentah susut -0.2% lebih rendah berbanding minggu sebelumnya, AS$69.36 setong," katanya. - DagangNews.com