Ringgit kembali diniagakan rendah | DagangNews Skip to main content

Ringgit kembali diniagakan rendah

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 19 Nov. - Ringgit kembali diniagakan rendah pagi ini pada RM4.0930/4.0980 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) susulan perkembangan vaksin COVID-19 yang semakin mereda. 


Semalam, mata wang itu ditutup pada RM4.0860/0900. 


AmBank Research menjangkakan ringgit diniagakan pada paras sokongan antara RM4.0731 dan RM4.0780 manakala paras rintangan antara RM4.0908 dan RM4.0953.


"Ringgit semalam mengukuh untuk hari kelima berturut-turut meningkat 0.42%, paras tertinggi sejak 29 Januari 2020. Setakat ini, ringgit sudah mengukuh 0.4%. 


"Indeks FBM KLCI bagaimanapun susut 0.34% kepada 1,604.8 mata menjejaki pasaran serantau," katanya dalam nota kajian hari ini. 


Berbanding mata wang serantau, ringgit mengukuh 0.33% kepada RM4.857 berbanding euro dan susut 0.09% kepada RM5.431 berbanding pound. 


Bagi mata wang serantau, ringgit diniagakan tinggi, naik 0.19% kepada RM3.049 berbanding dolar Singapura. 


Menurut firma penyelidikan itu, dolar AS jatuh buat hari kelima, susut 0.01% kepada 92.404, paras terendah sejak 1 September 2020. 


Penurunan mata wang ini diseret oleh perkembangan vaksin yang mengimbangi peningkatan jangkitan COVID-19 dan sekatan ekonomi yang lebih ketat di AS. 


"Dengan laporan data awal Moderna yang menunjukkan keberkesanan vaksin 94.5%, Pfizer pula mendakwa keputusan akhir daripada ujian peringkat akhir yang vaksinnya berkesan 95%, memberi kelegaan kepada pasaran yang sudah lesu dengan isu pandemik," katanya. 


Harga minyak pula ditutup tinggi setelah meningkat 1.03& kepada AS$44.20 setong manakala West Texas Intermediate pula menokok 0.94% kepada AS$41.82 setong, paras tertinggi sejak 2 September 2020. 


"Ini juga didorong oleh laporan vaksin COVID-19 selepas Pfizer melaporkan kadar keberkesanannya lebih tinggi berbanding 90% sebelum ini dan harapan pasaran terhadap langkah OPEC dan sekutunya akan menangguhkan pelan untuk meningkatkan pengeluaran minyak," katanya. - DagangNews.com