Ringgit muncul mata wang terbaik Asia hasil tindakan bersepadu kerajaan, BNM - MOF | DagangNews Skip to main content

Ringgit muncul mata wang terbaik Asia hasil tindakan bersepadu kerajaan, BNM - MOF

Kadar Pertukaran Efektif Normal (NEER) Ringgit iaitu kayu ukur prestasi berbanding rakan dagangan utama juga meningkat 3.4%, kata MOF. -Gambar hiasan 8photo Freepik
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 22 Julai - Ringgit muncul mata wang berprestasi terbaik di rantau Asia berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sejak pelaksanaan tindakan bersepadu oleh Kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) pada 26 Februari 2024.

 

Kementerian Kewangan berkata, setakat 17 Julai 2024, Ringgit diniagakan pada paras 4.6642, berbanding 4.7987 untuk AS$1 iaitu nilai tukaran terendah yang pernah dicatatkan pada tahun ini. 

 

Di samping itu, katanya, Kadar Pertukaran Efektif Normal (NEER) Ringgit, yang merupakan kayu ukur prestasi Ringgit berbanding rakan dagangan utama juga telah meningkat sebanyak 3.4%.

 

 

"Ini berikutan usaha untuk menggalakkan aliran masuk dana yang lebih konsisten ke dalam pasaran kewangan domestik, termasuk penghantaran balik dan pertukaran pendapatan pelaburan asing oleh syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC/GLICs)," katanya.

 

Kementerian Kewangan berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Senator Datuk Shamsuddin Abd Ghaffar pada sidang Dewan Negara hari ini.

 

Shamduddin bertanyakan usaha kerajaan ke arah penambahbaikan nilai Ringgit berbanding Dolar AS dan bilakah usaha itu akan berjaya.

 

bnm
BNM terus ambil langkah-langkah wajar memastikan kestabilan Ringgit. -Gambar NAIM AZIZ/DagangNews

 

Sementara itu, kata Kementerian Kewangan, BNM telah dan akan terus mengambil langkah-langkah yang wajar untuk memastikan kestabilan mata wang dan pasaran pertukaran asing domestik. 

 

Menurutnya, perkara ini termasuk mengambil langkah operasi intervensi dalam pasaran pertukaran asing untuk membendung pergerakan mata wang yang dianggap berlebihan.

 

"BNM juga giat menjalankan usaha libat urus dengan syarikat korporat, pengeksport dan pengimport, serta pemantauan penukaran hasil eksport kepada ringgit terhadap syarikat pengeksport," jelasnya.

 

Kata Kementerian Kewangan, kerajaan kekal komited dan fokus dalam usaha pelaksanaan polisi-polisi pembaharuan struktur dan pengukuhan fiskal. 

 

Jelasnya, pelbagai usaha telah dijalankan dan mula menampakkan hasil positif seperti: Pelaburan yang diluluskan kekal menggalakkan bagi tahun 2023 (2023: RM330 bilion; 2022: RM267.8 bilion). 

 

"Pada suku pertama tahun ini (1Q 2024: RM89.7 bilion; 1Q 2023: RM71.4 bilion). Selepas 6 tahun, JP Morgan telah menaikkan taraf Malaysia daripada 'Underweight' kepada 'Neutral' berikutan polisi pembaharuan struktur yang telah dilaksanakan, termasuk pelaburan dalam membangunkan pusat hab data serantau dan teknologi hijau.

 

"Ini menunjukkan pelabur kekal yakin terhadap perkembangan ekonomi negara dan dengan usaha yang dilakukan oleh Kerajaan. Aliran masuk dana dan pelaburan asing ini dijangka akan berterusan dan akan dapat menyokong pengukuhan nilai ringgit," ujarnya. - DagangNews.com