Ringgit meningkat 0.06% berbanding dolar AS | DagangNews Skip to main content

Ringgit meningkat 0.06% berbanding dolar AS

RINGGIT

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Nilai ringgit menyaksikan peningkatan sebanyak 0.06% kepada 4.194 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hingga pasaran ditutup petang semalam.

Menurut AmBank Research, dolar AS juga mengukuh sebanyak 0.05% kepada 93.628 didorong oleh inflasi daripada sektor perkilangan yang kembali meningkat sebanyak 0.6% pada Julai berbanding -0.2% pada Jun ditengah-tengah ketegangan AS-China serta kebuntuan antara Kongres dan Pentadbiran Trump ke atas rangsangan fiskal.

"Presiden AS memaklumkan bahawa beliau akan mempertimbangkan pengurangan cukai ke atas keuntungan modal sebagai langkah membantu memulihkan prestasi ekonomi akibat COVID-19," jelas AmBank Research hari ini.

Sementara itu, KLCI negara ditutup rendah sebanyak 0.44% kepada 1,564.7.

Namun, nilai ringgit ditutup lemah berbanding mata wang utama lain kecuali Yen Jepun (JPY).

Ringgit rendah 0.09% kepada 4.942 berbanding Euro (EUR) dan 0.15% kepada 5.493 berbanding Pound Sterling (GBP).

Ringgit juga lemah berbanding Dolar Australia (AUD) dan Cina Yuan (CNY) dengan masing-masing pada kadar 0.28% kepada 3.011 dan 0.16% kepada 1.656.

Tetapi, ringgit mengukuh 0.56% kepada 3.938 berbanding Yen Jepun (JPY).

Di peringkat ASEAN pula, ringgit diniagakan bercampur-campur pada -0.15% kepada 3.059 berbanding Dolar Singapura (SDG) dan 0.10% kepada 7.422 berbanding Bath Thailand (THB).

Dalam pada itu, AmBank Research turut menjangkakan ringgit akan didagangkan antara 4.1728 dan 4.1842. - DagangNews.com