Ringgit terkurang nilai, BNM tingkatkan perbincangan dengan pelabur bawa aliran masuk ke dalam pasaran pertukaran asing - Gabenor BNM | DagangNews Skip to main content

Ringgit terkurang nilai, BNM tingkatkan perbincangan dengan pelabur bawa aliran masuk ke dalam pasaran pertukaran asing - Gabenor BNM

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 27 Feb - Bank Negara Malaysia (BNM) telah meningkatkan perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan pelabur untuk menggalakkan aliran masuk yang berterusan ke dalam pasaran pertukaran asing.

 

Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, ringgit pada masa ini terkurang nilai atau undervalued

 

Sedangkan tegas beliau, ringgit sewajarnya didagangkan pada tahap yang lebih tinggi memandangkan asas dan prospek ekonomi Malaysia adalah positif.

 

gaben
Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour

 

"Ringgit pada masa ini terkurang nilai (undervalued).

 

"Memandangkan asas dan prospek ekonomi Malaysia adalah positif, ringgit sewajarnya didagangkan pada tahap yang lebih tinggi.

 

"BNM telah meningkatkan perbincangan dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat korporat dan pelabur untuk menggalakkan aliran masuk yang berterusan ke dalam pasaran pertukaran asing," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Kenyataan itu dikeluarkan bagi memaklumkan mengenai perkembangan ringgit.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Paras semasa ringgit tidak cerminkan prospek ekonomi negara, kata Gabenor BNM

 

duit

 

Pada 20 Februari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu berkaitan nilai ringgit akan dijelaskan oleh Gabenor BNM.

 

Susulan itu, pada hari yang sama Abdul Rasheed mengeluarkan kenyataan pertama menjelaskan prestasi ringgit ketika ini tidak mencerminkan prospek positif ekonomi Malaysia pada masa hadapan.

 

Dalam kenyataan minggu lalu juga, beliau berkata, malah nilai ringgit sebenarnya diyakini akan terus meningkat dalam tahun ini dan pertumbuhan pada 2024 akan didorong oleh peningkatan dalam permintaan luar dan perbelanjaan domestik yang kukuh.

 

Pada 21 Februari lalu, Ringgit Malaysia didagangkan pada paras terendah yang tidak dilihat sejak Krisis Kewangan Asia 1998 dengan faktor aliran keluar, penimbunan mata wang asing dan timbunan dolar yang kukuh memberi tekanan berat terhadap mata wang negara ini.

 

Mata wang itu adalah yang pertama di Asia yang menjunam di bawah paras Oktober 2023 pada dolar Amerika Syarikat.

 

Ringgit mencecah 4.809 kepada 1 dolar hari ini (21 Februari 2024), paras paling lemah sejak Januari 1998.- DagangNews.com