Gambar Reuters
KUALA LUMPUR 27 April - Kementerian Pembangunan Luar Bandar bersetuju untuk menyelaraskan pengagihan dividen menerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan FELCRA Berhad.
Ini melibatkan nilai keseluruhan RM189.08 juta, menurut pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ujar beliau, sebanyak RM82.03 juta merupakan dividen 2020 oleh RISDA, sementara RM107.05 lagi merupakan bayaran agihan akhir lebihan keuntungan projek tahun lalu.
Jumlah itu akan diagihkan kepada 16,080 pekebun kecil yang mengusahakan tanaman getah dan sawit di bawah Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTBB) serta 15,165 pekebun kecil yang mengusahakan Tanam Semula Komersil (TSK), melibatkan keluasan 39,430 hektar di seluruh negara.
“Pada hari ini juga, saya difahamkan RISDA turut mengagihkan keuntungan zakat korporat kepada lebih 4,000 orang asnaf pekebun kecil dan institusi agama terpilih di seluruh Malaysia dengan nilai zakat RM2.48 juta,” kata Muhyiddin menurut laporan Bernama.
Sementara itu, seramai 58,826 peserta FELCRA di seluruh negara akan menerima bayaran agihan akhir,secara berperingkat, bermula hari ini.
Tambah Muhyiddin, agihan akhir itu adalah hasil keuntungan bersih daripada 890 projek ladang-ladang milik peserta yang dimajukan oleh FELCRA.
FELCRA dalam satu kenyataan berasingan menjelaskan jumlah agihan akhirnya, RM107.05 juta adalah lebih tinggi berbanding RM83.82 juta pada tahun 2019.
Bagi sepanjang tahun 2020, FELCRA mencatatkan jumlah keseluruhan keuntungan sebanyak RM204.49 million, lonjakan 19.51% daripada RM171.10 juta yang diagihkan pada 2019.
Peningkatan jumlah agihan itu disokong oleh senario purata harga buah tandan segar (BTS) sawit pada tahun lalu. - DagangNews.com