RISE Educator Award 2022 rai guru beri sumbangan cemerlang | DagangNews Skip to main content

RISE Educator Award 2022 rai guru beri sumbangan cemerlang

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 10 Mei - Taylor's College melancarkan anugerah RISE Educator Award 2022 bagi menghargai guru-guru yang banyak menyumbang jasa kepada para pelajar di Malaysia.

 

Taylor's College dalam satu kenyataan memaklumkan, anugerah tersebut bertujuan meraikan pendidik yang telah memberi sumbangan cemerlang, bukan sahaja kepada pendidikan pelajar dalam kelas, tetapi pembangunan sosial terutama ketika pandemik.

 

Jelasnya, peringkat kedua anugerah itu akan menyaksikan pemenang dan pencalon RISE Educator of the Year masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 dan RM500. 

 

"Bagi menambah lagi ganjarannya, Taylor’s College akan menaja RM10,000 kepada sekolah bagi pemenang RISE Educator of The Year bagi meningkatkan lagi kemudahan di sekolah," menurut kenyataan tersebut.

 

Sementara itu, seramai lima finalis telah terpilih, antaranya Mohammad Hazeem Azemi, Mohamad Huszaimi Husin, Liang Pek Kue, Saifulnizan Che Ismail dan Tan Teng Wai yang mempunyai pelbagai kisah inspirasi.

 

Seorang finalis, Mohammad Hazeem dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Krau, Pahang dicalonkan rakannya, Haspura Abu Hanipah yang juga guru kaunseling di sekolah itu.

 

Mohammad Hazeem adalah seorang guru luar biasa yang bukan sahaja berusaha keras tetapi tidak mengenal penat dalam usahanya untuk mencetus inspirasi di dalam dan di luar kelas bagi membantu pelajar orang asli dan pelajar berkeperluan khas di kawasan pedalaman Pahang.

 

 

rise
Mohammad Hazeem Azemi

 

 

rise
Mohamad Huszaimi Husin

 

 

Finalis, Mohamad Huszaimi dari SMK Tanjong Bunga, Pulau Pinang yang juga dikenali sebagai Cikgu Mi dalam kalangan pelajar, ibu bapa dan rakannya, merupakan seorang guru yang bekerja keras kerana usahanya untuk menjadikan kelasnya seronok dan boleh diakses terutama pelajar menghadapi kesulitan belajar.

 

 

rise
Liang Pek Kue

 

 

rise
Saifulnizan Che Ismail

 

 

Cikgu Mi mengkhusus dalam bidang IT dan membantu pelajarnya terutama yang mengalami disleksia, kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD), autisme, pelajar lembam dan sindrom down untuk mahir dalam menggunakan komputer.

 

Seorang lagi finalis, Liang dari Tadika Little Leader, Perak merupakan pengetua tadika yang turut mendidik ramai kanak-kanak dengan keperluan khas.

 

 

rise
Tan Teng Wai

 

 

Sifat sayang dan prihatin kepada pelajarnya telah memberi dirinya minat dan semangat untuk mempelajari tentang pembangunan psikologi kanak-kanak dengan membaca serta menyertai banyak kursus.

 

Orang ramai boleh membaca kisah-kisah yang memberi inspirasi dengan melayari laman web Taylor’s College dan undilah guru luar biasa kesukaan anda mulai hari ini hingga 13 Mei 2022. - DagangNews.com