Rizab antarabangsa BNM berjumlah AS$113.8 bilion pada 28 Jun 2024 | DagangNews Skip to main content

Rizab antarabangsa BNM berjumlah AS$113.8 bilion pada 28 Jun 2024

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 5 Julai - Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah AS$113.8 bilion pada 28 Jun 2024, susut sedikit berbanding AS$114.1 bilion pada 14 Jun 2024. 

 

Bank pusat itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, paras rizab ini telah mengambil kira perubahan suku tahunan bagi penilaian semula pertukaran asing. 

 

"Paras rizab ini memadai untuk membiayai 5.4 bulan import barangan dan perkhidmatan dan 1.0 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek," katanya.

 

Komponen utama rizab antarabangsa merangkumi rizab mata wang asing berjumlah AS$101.6 bilion, kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (AS$1.3 bilion), hak pengeluaran khas (AS$5.7 bilion), emas (AS$2.9 bilion) dan aset rizab lain (AS$2.3 bilion).

 

Katanya, aset bank pusat itu berjumlah RM639.88 bilion, yang terdiri daripada emas dan pertukaran asing dan rizab lain, termasuk SDR (RM537.28 bilion), kertas kerajaan Malaysia (RM12.91 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM2.4 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM24.96 bilion), tanah dan bangunan (RM4.13 bilion) dan aset-aset lain (RM58.19 bilion).

 

BNM berkata modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM199.64 bilion), mata wang dalam edaran (RM166.44 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM153.14 bilion), deposit kerajaan persekutuan (RM5.86 bilion), deposit lain (RM62.87 bilion), kertas Bank Negara (RM18.65 bilion), peruntukan SDR (RM29.96 bilion) dan liabiliti-liabiliti lain (RM3.22 bilion). - DagangNews.com