RM232 juta diperuntukkan untuk bangunkan semula Pusat Latihan Kor Polis Tentera Diraja di Port Dickson | DagangNews Skip to main content

RM232 juta diperuntukkan untuk bangunkan semula Pusat Latihan Kor Polis Tentera Diraja di Port Dickson

Projek pembinaan kem Pusat Latihan KPTD bakal menggantikan lokasi sedia ada di Kem Genting Klang, Kuala Lumpur.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 28 Julai - Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan membangunkan sebuah kem baharu bagi Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) di Mukim Si Rusa, Port Dickson, Negeri Sembilan 

 

Projek bernilai RM232.9 juta ini bagi pembinaan Pusat Latihan KPTD, Markas Tim Akrobatik Army Red Warrior (ARW) dan 213 unit kuarters di kawasan seluas 24 hektar.

 

Antara kemudahan yang disediakan seperti kompleks komuniti, surau, sekolah rendah agama, tadika, taska dan gelanggang sukan.

 

Kemudahan berkaitan ini apabila siap kelak untuk menggantikan prasarana sedia ada di Kem Genting Klang, Kuala Lumpur yang berusia lebih 50 tahun.

 

Mohamad bersama anggota tentera melihat model projek pembangunan kem KPTD.
Mohamad (tengah) dan Hafizuddeain (kiri) bersama anggota tentera melihat model projek pembangunan kem baharu KPTD di Port Dickson.

 

Projek ini mengambil masa 18 hingga 24 bulan untuk siap yang melibatkan rumah keluarga lima tingkat dan bangunan satu tingkat untuk kem.

 

Apabila projek tersebut siap pada 2025, ia bakal memberi keselesaan kepada anggota KPTD dan keluarga mereka.

 

Pembangunan semula aset ATM ini merupakan salah satu komponen timbal balas daripada Pembinaan Perumahan Program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) ATM yang telah diluluskan sebelum ini.

 

Selepas projek itu siap kelak, kerajaan akan membina 7,250 unit rumah untuk anggota tentera, veteran dan kakitangan awam MINDEF di tapak Kem Genting Klang yang dikosongkan.

 

Kuarters Kem Genting Klang
Kuarters Kem Genting Klang yang berusia 50 tahun.

 

Apabila projek tersebut siap pada 2025, ia bakal memberi keselesaan kepada anggota dan kepimpinan ATM
Projek pembinaan kem baharu KPTD ini yang siap pada tahun 2025 bakal memberi keselesaan kepada anggota tentera dan keluarga.

 

Terdahulu, majlis pecah tanah pembinaan Pusat Latihan KPTD dan Army Red Warrior ini telah disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

 

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan. - DagangNews.com