Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 29 Okt. - Sebanyak RM31 bilion ringgit disediakan kerajaan bagi tujuan subsidi, bantuan dan insentif di bawah Bajet 2022 untuk meminimum kesan peningkatan kos sara hidup rakyat melibatkan kawalan harga barang dan perkhidmatan.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, di bawah strategi ke-3 Bajet 2022 iaitu Membina Kehidupan Yang Kondusif, kerajaan memperuntukkan 200 juta ringgit untuk membiayai kos pengangkutan dan pengedaran barangan asas ke kawasan luar bandar.
Ujarnya, ini bagi memastikan kawasan luar bandar, khususnya di Sabah dan Sarawak, mendapat barangan keperluan asas seperti LPG dan petrol pada harga yang berpatutan.
"Usaha di bawah strategi ke-3 ini tertumpu kepada meringankan kos sara hidup, menggalakkan pemilikan rumah kediaman, akses kepada kemudahan pengangkutan, pembangunan infrastruktur luar bandar serta pertahanan dan keselamatan awam," katanya.
Di bawah inisiatif bagi meringankan kos sara hidup rakyat, Tengku Zafrul berkata KWSP akan melanjutkan tempoh pengurangan kadar caruman minimum KWSP daripada 11% kepada 9% psehingga Jun 2022 melibatkan anggaran nilai RM2 bilion.
"Untuk mengurangkan kos pemilikan kenderaan, kerajaan juga akan melanjutkan 100 peratus pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang CKD dan 50 peratus ke atas CBU termasuk MPV dan SUV selama enam bulan sehingga 30 Jun 2022," katanya.
Selain itu, Tengku Zafrul turut mengumumkan kerajaan akan meneruskan projek-projek perumahan khususnya kepada golongan berpendapatan rendah dengan nilai keseluruhan RM1.5 bilion.
"Pada masa yang sama, kerajaan tidak lagi mengenakan Cukai Keuntungan Harta Tanah bagi pelupusan oleh individu warganegara, pemastautin tetap dan selain syarikat mulai tahun ke enam dan ke atas.
"Kerajaan juga menyediakan jaminan sehingga RM2 bilion kepada bank melalui Skim Jaminan Kredit Perumahan untuk memberi akses pembiayaan kepada pekerja gig, pengusaha kecil dan petani yang sukar membeli rumah kerana tiada pendapatan tetap," katanya. -DagangNews.Com