Rohas Tecnic terima kontrak bernilai RM199.84 juta bagi pembinaan Pakej 8-RTS Link Johor Bahru-Singapura | DagangNews Skip to main content

Rohas Tecnic terima kontrak bernilai RM199.84 juta bagi pembinaan Pakej 8-RTS Link Johor Bahru-Singapura

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Jan - Rohas Tecnic Berhad menerusi syarikat kerjasama Rohas-Euco Industries Berhad dan Sediabena Builders Sdn. Bhd. menerima kontrak bernilai RM199.84 juta daripada Malaysia Rapid Transit System Sdn. Bhd. (MRTS) bagi pembinaan Pakej 8 Stesen Bukit Chagar untuk Stesen Rapid Transit System (RTS) Link Johor Bahru-Singapura.

 

Kumpulan itu berkata, syarikat konsortium itu dimeterai kedua-dua syarikat itu pada 20 Oktober 2023 bagi tujuan membida projek Pakej 8 - RTS Link Johor Bahru-Singapura dan melaksanakannya secara bersama sekiranya berjaya.

 

Selepas penganugerahan kontrak itu, Rohas-Euco Industries dan Sediabena Builders akan memeterai perjanjian usaha sama terperinci dengan nisbah ekuiti 70%-30%.

 

"Projek Pakej 8-RTS Link itu dijangka siap sepenuhnya pada 31 Mei 2025," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Projek itu tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham dan pegangan saham pemegang saham utama bagi Rohas Technic kerana ia tidak melibatkan sebarang peruntukan atau terbitan saham baharu.

 

Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 dan 2025, dan kesan kewangan yang positif dijangka ke atas pendapatan sesaham dan aset bersih mereka. - DagangNews.com