Rozaid A. Rahman dilantik sebagai Pengarah Media dan Komunikasi Strategik PM Anwar | DagangNews Skip to main content

Rozaid A. Rahman dilantik sebagai Pengarah Media dan Komunikasi Strategik PM Anwar

Rozaid A Rahman dirakam gambar di pejabatnya di PMO Putrajaya. - Gambar Datuk Zakaria Abdul Wahab
Oleh JOHARDY IBRAHIM

PUTRAJAYA 23 Mei - Bekas Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Rozaid A. Rahman dilantik sebagai Pengarah Media dan Komunikasi Strategik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Berita terbaharu ini dikongsi oleh bekas Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia, Datuk Zakaria Abdul Wahab dalam posting di laman Facebook hari ini.

 

Jawatan Pengarah Media dan Komunikasi Strategik Perdana Menteri tersebut kosong baru-baru ini, berikutan perletakan jawatan Datuk Wan Nurzila Wan Abd Rahman.

 

Rozaid, 59, merupakan wartawan veteran yang pernah menjadi wartawan dan editor Utusan Malaysia, Sinar Harian dan The Star.

 

Beliau menjawat jawatan Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian bermula Januari 2021 dan meletak jawatan pada Disember 2022.

 

Kerjaya Rozaid bermula di Utusan Malaysia sebagai pemberita kadet pada April 1984 dan seterusnya pada 1992, beliau dilantik sebagai Ketua Pemberita Kumpulan Utusan dan dua tahun selepas itu dilantik Pengarang Berita.

 

Kemudiannya beliau menyertai perkhidmatan awam sebagai setiausaha akhbar kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan selepas itu Menteri Pengajian Tinggi.

 

Seterusnya pada 2009, Rozaid kembali menyertai industri media sebagai Pengarang Bersekutu dan kemudian Pengarang Eksekutif The Star, memegang tanggungjawab antara lain membangunkan platform digital bahasa Malaysia, mStar Online.

 

Sepanjang kerjaya sebagai wartawan, Rozaid pernah menemuramah secara eksklusif Perdana Menteri Thailand, Perdana Menteri Malaysia dan juga Yang di-Pertuan Agong, selain membuat liputan Persidangan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu di New York dan Pergerakan G-20 di Senegal, Afrika. - DagangNews.com