RPG Commerce berjaya kumpul dana RM127 juta dalam pusingan pendanaan Siri B | DagangNews Skip to main content

RPG Commerce berjaya kumpul dana RM127 juta dalam pusingan pendanaan Siri B

(Dari kiri) Para Pengasas Bersama RPG Commerce, Celine Choo, Melvin Chee, Nelson Ting, Elvin Chee dan Josh Lee.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 Jun - RPG Commerce berjaya mengumpul dana sebanyak RM127 juta dalam pusingan pendanaan Siri B yang diketuai oleh East Ventures,  UOB Venture Management, Vertex Ventures SEA & India (VVSEAI), dan RHL Ventures. 

 

VVSEAI sebelum ini mengetuai pendanaan Siri A RPG Commerce dan telah melabur semula untuk pusingan Siri B.

 

Dana yang terkumpul akan disalurkan untuk mengukuhkan proses teknologi dan pembangunan syarikat pada masa hadapan selain membangunkan dan mengembangkan portfolio jenama bertaraf dunia untuk RPG bagi menghasilkan produk pengguna yang membawa pembaharuan. 

 

RPG kini menjadi hos kepada 10+ jenama antarabangsa milik sendiri, termasuk jenama pakaian & peralatan rumah Thousand Miles, Bottoms Lab, Montigo, Cosmic Cookware & banyak lagi. 

 

Model perniagaan berbilang jenama RPG Commerce melancarkan, mengendali dan mengoptimumkan pilihan jenama DTC yang berjaya di peringkat global dengan memiliki proses pembangunan, pengeluaran dan penghantaran hujung ke hujung. 

 

Dalam usaha mewujudkan taraf hidup yang cemerlang untuk para pelanggan dengan mencipta penyelesaian yang inovatif kepada masalah harian, RPG mendapat sokongan daripada teknologi sokongan yang termaju dan pasukan peneraju dengan wawasan yang kreatif bagi pengembangan portfolio jenama yang pantas dan pertumbuhan pangkalan pelanggan lebih 300% pada tahun lalu. 

 

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif RPG Commerce, Melvin Chee berkata, misi RPG Commerce adalah untuk memberi nilai yang melebihi jangkaan para pelanggan. 

 

"Kami bangga dapat memberikan produk dan perkhidmatan yang membawa perubahan dan mengutamakan pelanggan dengan menghasilkan barangan penting berkualiti tinggi menerusi model DTC kami yang boleh diakses dengan mudah oleh pelanggan dan dihantar secara terus ke tempat mereka. 

 

"Matlamat kami bagi pusingan pendanaan ini adalah untuk menambah bilangan bakat di seluruh organisasi dan meningkatkan keupayaan teknologi kami. Kami juga mahu meluaskan pilihan jenama kami untuk terus membawa perubahan kepada landskap pengguna," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Pengasas Bersama dan Rakan Pengurusan East Ventures, Willson Cuaca pula berkata, RPG mengambil pendekatan berbilang kategori dan jenama sambil mengekalkan model penyatuan sebagai pilihan bagi menjadikan syarikat sebagai pengusaha yang unik dan berjaya dalam landskap e-dagang. 

 

"Perniagaan DTC perlu membina momentum di peringkat antarabangsa bagi memastikan kejayaan. RPG menyerlah sebagai sebuah syarikat yang mampu membina pangkalan pelanggan yang setia di Amerika Syarikat, Kanada dan Eropah dengan membina kepercayaan pelanggan melalui produk yang berkualiti dan inovasi rantaian bekalan.

 

“Kami teruja untuk memberi sokongan kepada RPG dalam usaha pengembangan mereka yang seterusnya. Kami mahu melihat jenama ini meluaskan portfolio mereka dan berkembang dalam pasaran baharu di seluruh rantau Asia Tenggara," katanya. - DagangNews.com