KUALA LUMPUR 20 Sept - Kerugian bersih Eco World International Berhad menyusut kepada RM12.3 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Julai 2023 (3QFY23) berbanding RM56.7 juta berbanding suku sama pada tahun lalu.
Kumpulan itu berkata, keputusan didorong oleh pertukaran mata wang asing yang timbul daripada pembayaran balik pendahuluan oleh EcoWorld-Ballymore dan penukaran baki bank dalam denominasi pound sterling berbanding kerugian pertukaran asing pada suku sama tahun lalu.
Selain itu, ia juga disokong oleh kos kewangan yang lebih rendah berikutan penyelesaian penuh semua pinjaman pada suku semasa, kerugian yang lebih rendah dalam EcoWorld London pada 3QFY23 dan pendapatan faedah yang lebih tinggi daripada penempatan dana berikutan pembayaran balik pendahuluan pemegang saham oleh usaha sama di United Kingdom.
Katanya, EcoWorld International mencapai jualan RM1.003 bilion serta rizab sebanyak RM157 juta dalam 10 bulan FY23 dan ia meletakkan kumpulan itu di landasan terbaik untuk mencapai sasaran jualan sebanyak RM1.4 bilion bagi tahun ini.
"Sehingga 31 Julai 2023, EcoWorld International mempunyai tunai bersih sebanyak RM801 juta. Termasuk bahagian efektif baki tunai bersih kumpulan di entiti JV, jumlah baki tunai bersih berjumlah RM831 juta.
"Tunai yang dijana daripada jualan stok siap kumpulan membolehkan lembaga pengarah mengisytiharkan dividen berjumlah RM792 juta, yang akan dibayar kepada pemegang saham pada 29 September 2023.
"Kemajuan jualan yang stabil juga menyebabkan pengagihan dividen sebenar sebanyak RM792 juta adalah jauh lebih tinggi daripada anggaran awal dividen tranche pertama sebanyak sekurang-kurangnya RM300 juta yang akan dibayar kepada pemegang saham," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Teow Leong Seng berkata, kenaikan pound sterling sejak 4QFY22 telah meningkatkan nilai ringgit bagi baki stok siap kumpulan yang tidak terjual.
Beliau berkata, pada 31 Ogos 2023, EcoWorld International dan syarikat usaha samanya mempunyai kira-kira RM1.1 bilion stok siap dan hampir siap yang tersedia untuk dijual.
"Berkenaan dengan pelancaran baharu, ia akan ditangguhkan sehingga keadaan pasaran bertambah baik dan tekanan kos menjadi stabil.
"Akibatnya, keperluan modal kerja segera kumpulan itu akan menjadi lebih rendah daripada anggaran asal," katanya. - DagangNews.com