Rugi bersih FY23 Lotte Chemical Titan meningkat 9% kepada RM812.7 juta | DagangNews Skip to main content

Rugi bersih FY23 Lotte Chemical Titan meningkat 9% kepada RM812.7 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Jan - Rugi bersih Lotte Chemical Titan Holding Berhad bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) meningkat 9% kepada RM812.7 juta berbanding RM745.1 juta pada tahun sebelumnya.

 

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, hasil pada tahun itu juga susut kepada RM7.65 bilion berbanding RM10.02 bilion pada tahun sebelumnya.

 

Katanya, prestasi yang lebih lemah itu adalah disebabkan penurunan sebaran margin selain bahagian kerugian daripada Lotte Chemical USA Corporation tetapi sebahagiannya diimbangi penurunan nilai inventori kepada nilai bersihboleh direalisasi. 

 

​Bagaimanapun, kerugian bersih bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2023 (4QFY23) susut sebanyak 42% kepada RM186.5 juta berbanding RM333.6 juta pada suku sama tahun sebelumnya disokong sebaran margin yang lebih baik hasil daripada kos bahan suapan yang lebih rendah serta keuntungan daripada tukaran mata wang asing.

 

Hasil kumpulan bagi suku berkenaan susut kepada RM1.86 bilion berbanding RM2.07 bilion bagi suku sama tahun lalu kesan daripada jumlah jualan yang lebih rendah akibat permintaan dihalang oleh aktiviti ekonomi yang lebih perlahan di rantau ini.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Park Hyun Chul berkata, 2023 kekal sebagai tahun yang sangat mencabar kesan daripada pertumbuhan ekonomi yang lebih rendah di China dan Eropah.

 

Katanya, konflik di Asia Barat menyebabkan turun naik harga minyak mentah yang sangat berkait rapat dengan harga nafta.

 

Akibat ketidaktentuan pasaran, beliau berkata, kumpulan itu telah melaksanakan pelan pengoptimuman perniagaan dengan mengimbangi output pengeluaran dan kecekapan ekonomi, membawa kepada penggunaan keseluruhan kilang yang lebih rendah sebanyak 67% pada FY23 berbanding 77% pada tahun sebelumnya.

 

"Pembinaan Projek Etilena Baharu (Line) Lotte Chemical Indonesia berjalan mengikut jadual dengan ia berfungsi sebagai pengembangan strategik utama kumpulan, menyumbang tambahan 65% kepada jumlah kapasiti pengeluaran sedia ada apabila siap pada 2025.

 

"Projek Line akan membolehkan kami memanfaatkan permintaan yang dijangkakan untuk produk kami di Indonesia memandangkan negara ini merupakan pengimport bersih produk petrokimia," katanya. - DagangNews.com