Rugi bersih Supermax susut kepada RM50.3 juta pada 2QFY24 didorong kerugian tukaran mata wang asing yang rendah | DagangNews Skip to main content

Rugi bersih Supermax susut kepada RM50.3 juta pada 2QFY24 didorong kerugian tukaran mata wang asing yang rendah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Feb - Kerugian bersih Supermax Corp Bhd susut kepada RM50.25 juta pada suku kedua berakhir 31 Disember 2023 (2QFY24) berbanding RM110.37 juta didorong kerugian tukaran mata wang asing yang jauh lebih rendah dan pendapatan faedah yang lebih tinggi.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, permintaan dan purata harga jualan (ASP) sarung tangan getah kekal lemah dan hasil Supermax bagi suku tersebut menyusut sebanyak 16.7% atau RM29.2 juta kepada RM145.55 juta berbanding RM174.78 juta pada 2QFY23.
​ 

Katanya, antara penyumbang kepada kelemahan berterusan itu termasuk permintaan lemah disebabkan oleh ramai pembeli yang terus mengurangkan pegangan stok mereka selepas berakhirnya wabak.

 

"ASP yang rendah disebabkan oleh persaingan yang sengit, terutamanya daripada pengeluar China yang mampu memanfaatkan kos utiliti yang rendah," katanya.

 

Kerugian bersih kumpulan itu bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Disember 2023 (6MFY24) juga menyusut kepada RM51.66 juta berbanding RM105.85 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya dengan hasil Supermax merosot kepada RM323.51 juta berbanding RM422.74 juta bagi 6MFY23.

 

Mengulas mengenai prospek, Supermax berkata, pasaran sarung tangan getah dijangka kekal hambar sepanjang 2024 kerana dinamik permintaan-penawaran yang tidak menggalakkan terus melanda industri pascapandemik.

 

Situasi lebihan bekalan dijangka menjadi sederhana secara beransur-ansur apabila semakin ramai pemain yang lebih kecil keluar daripada pasaran manakala pemain yang lebih besar mengurangkan pengembangan mereka dan menutp operasi kilang lama.

 

Katanya, industri ketika ini pada asasnya sedang melalui peringkat penyatuan.

 

"Selain itu, ASP kekal lemah dengan pengeluar dari China merupakan pesaingan utama dan kini merupakan peneraju pasaran global selepas berupaya menawarkan harga yang lebih kompetitif berdasarkan kos utiliti yang lebih rendah berbanding pengeluar dari Malaysia," katanya.

 

Kumpulan itu tidak menjangkakan peningkatan ketara prestasi untuk 2024 disebabkan oleh jumlah tinggi saham berharga tinggi di pusat pengedaran luar negaranya.

 

Katanya, langkah pengurusan kos telah membantu meningkatkan keuntungan kumpulan ke satu tahap tetapi kos material yang tinggi dan kos utiliti pada masa ini dan masa hadapan dijangka kesan berterusan kepada margin.- DagangNews.com