Rumah teres dua tingkat MK Land serendah RM200,000 di Bukit Beruntung habis terjual dalam masa tiga jam | DagangNews Skip to main content

Rumah teres dua tingkat MK Land serendah RM200,000 di Bukit Beruntung habis terjual dalam masa tiga jam

Rumah Selangorku di Taman Bukit Raya, Bukit Beruntung. - Gambar Selangorkini
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 1 Sept - MK Land Holdings Bhd melancarkan projek pembangunan perumahan terbaharunya melalui program Rumah Selangorku Jenis Aster di Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung dengan penawaran harga serendah RM200,000 melibatkan 101 unit rumah yang habis terjual dalam masa tiga jam sahaja.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MK Land, Datuk Faris Yahaya menzahirkan rasa keterujaan beliau apabila melihat Taman Bunga Raya kini telah berubah wajah dan berkembang maju merentasi zaman dan generasi, berbanding pada awal tahun 1995 yang mana MK Land mula bertapak dan memulakan projek perumahan pertamanya di kawasan ini.

 

Katanya, MK Land telah mula meneroka potensi dan sekali gus merintis pembangunan di kawasan ini seawal 1995 lagi dengan membangunkan projek perumahan kos rendah, Apartment Kenanga dan sejak itu, pihaknya tidak lagi menoleh ke belakang. 

 

"Tahun demi tahun, kami terus komited, mengorak langkah ke hadapan, membangunkan pelbagai projek kediaman, samada rumah mampu milik (Rumah Selangorku) dan harga bebas serta lot komersial untuk manfaat penduduk di Bukit Beruntung ini khususnya.

 

"Alhamdulillah, setakat ini kami telah menyiapkan sebanyak 11,449 unit rumah yang melibatkan pembangunan tanah sebanyak 518 ekar, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM680 juta," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Terdahulu, majlis pelancaran projek itu disempurnakan oleh Pengerusi Eksekutif MK Land, Felina Tan Sri Datuk Dr Mustapha Kamal dan disaksikan oleh Tengku Panglima Raja Selangor, Tengku Datuk Seri Ahmad Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

 

Menurut Faris, dengan lebih 11,000 unit apartment siap dibina dan didiami komuniti di Taman Bunga Raya, dianggarkan lebih 40,000 penduduk mendiami keseluruhan kawasan pembangunan ini. 

 

 

mkland
(Dari kiri) Datuk Faris Yahaya, Tengku Datuk Seri Ahmad Shah, Engku Orang Kaya Maha Bijaya Hulu Selangor, Raja Datuk Muzaffar Raja Redzwa, Felina Tan Sri Datuk Dr Mustapha Kamal dan Penolong Pengarah Kanan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor, Mohd Faizal Abd Kadir ketika pelancaran Rumah Selangorku Jenis Aster di Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung, Selangor pada 31 Ogos 2023.

 

 

"Apa yang lebih manis dan bermakna lagi buat kami di MK Land adalah kerana terdapat ramai pembeli rumah projek perumahan terbaharu kami, terdiri daripada generasi kedua yang mana ibu bapa mereka merupakan pelanggan MK Land sejak 20 ke 25 tahun yang lalu," katanya.

 

Di majlis yang sama, Faris turut berkongsi pelan pembangunan akan datang di Taman Bunga Raya yang melibatkan pembangunan rumah bagi pasaran terbuka Jenis Freesia, dengan penawaran harga bebas serendah RM499,000 melibatkan 64 unit yang akan dilancarkan dalam masa terdekat.

 

"Penawaran harga serendah RM499,000 bagi pemilikan rumah teres dua tingkat Jenis Freesia yang mempunyai spesifikasi rumah berkembar dan berkeluasan 22’ x 60’ ini, merupakan antara harga harta tanah yang terendah yang boleh ditawarkan mana-mana pemaju kepada para pembeli di Lembah Klang dan Selangor. 

 

"Apatah lagi rumah ini menawarkan hak milik invidividu dan geran rumah tersedia kepada bakal pembeli, ditambah dengan jarak perjalanan 30 minit sahaja daripada Tol Jalan Duta. Maka, rebutlah peluang keemasan ini untuk menjadi antara 64 pembeli yang bertuah untuk menjadi pemilihrumah idaman ini," katanya.

 

Untuk rekod, sejumlah 240 unit rumah teres dua tingkat Rumah Selangorku jenis Acacia yg terdiri dari dua fasa pembangunan iaitu Fasa 4A (126 unit) dan Fasa 4B (114 unit) juga dilancarkan pada penghujung tahun lepas dan MK Land kini dalam fasa menyiapkan kerja-kerja pembinaan bagi Fasa 4 yang dijangka siap sepenuhnya pada Julai 2024.  - DagangNews.com