KUALA LUMPUR 19 Julai - Sabah akan membatalkan permit kerja untuk dua unit minyak Hibiscus Petroleum Bhd yang beroperasi di negeri itu jika mereka tidak menjelaskan cukai dan penalti yang terhutang pada tarikh akhir yang ditetapkan.
Memetik Menteri Kewangan Negeri II Datuk Masidi Manjun pada Selasa, Malay Mail Online melaporkan bahawa notis tindakan telah dikeluarkan kepada Repsol Oil & Gas Ltd dan SEA Hibiscus Sdn Bhd, yang kedua-duanya dimiliki sepenuhnya oleh Hibiscus, pada 8 Julai selepas tempoh tangguh selama seminggu untuk menjelaskan tunggakan.
"Kami mengeluarkan notis pada 8 Julai bahawa semua pas kerja akan dibatalkan pada 1 Oktober 2022 jika bayaran tidak dijelaskan," katanya yang dipetik sebagai memberitahu Dewan Undangan Negeri Sabah.
Masidi berkata beberapa perbincangan telah berlangsung antara kedua-dua pihak untuk menyelesaikan perselisihan faham mereka, dengan Kerajaan Negeri menuntut kira-kira RM97.31 juta, terdiri daripada RM66 juta cukai jualan dan RM31.31 juta penalti yang dikenakan untuk pembayaran lewat.
“Kami menghantar notis pembayaran pada 22 Jun, dengan bayaran akan dijelaskan dalam tempoh 30 hari selepas notis atau negeri akan memulakan tindakan sivil terhadap mereka.
“Pada 1 Julai, mereka telah meminta tempoh tangguh selama seminggu untuk berunding terma dengan Petronas,” katanya.
Kedua-dua anak syarikat itu enggan membuat pembayaran selepas mempertikaikan hak menjual minyak mentahnya dari Lapangan Minyak Kinabalu di kemudahan Terminal Minyak Mentah Labuan yang didakwanya sebanagi "di luar kedaulatan dan bidang kuasa negeri Sabah" dan oleh itu tidak sepatutnya dicaj cukai jualan negeri. - DagangNews.com