Sabak Bernam jadi lokasi penyelidikan UiTM bantu komuniti perkasa kualiti kehidupan | DagangNews Skip to main content

Sabak Bernam jadi lokasi penyelidikan UiTM bantu komuniti perkasa kualiti kehidupan

Naib Canselor UiTM mengishtiharkan daerah Sabak Bernam sebagai 'UiTM Living Lab' bagi membantu komuniti setempat ke arah pemerkasaan kualiti kehidupan. 
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 9 Nov - Institut Kepimpinan Dan Pembangunan (ILD) Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan kerjasama Bahagian Penyelidikan dan Inovasi UiTM Cawangan Selangor menganjurkan 'Program UiTM Leaders Engagement with Living Lab Community@Sungai Panjang', Sabak Bernam, Selangor.

 

Hasil kunjungan Naib Canselor UiTM ke Sabak Bernam pada 16 Julai lalu, beliau mengishtiharkan daerah Sabak Bernam sebagai 'UiTM Living Lab' bagi membantu komuniti setempat ke arah pemerkasaan kualiti kehidupan. 

 

UiTM Living Lab telah mendapat kelulusan Senat UiTM ke-297 pada 11 Ogos lepas.

 

Penolong Naib Canselor ILD UiTM, Prof Datuk Dr Mizan Hitam berkata, beliau berharap program itu bakal memberi impak yang signifikan dalam bidang penyelidikan dan inovasi UiTM.

 

"Ia seterusnya dapat meningkatkan kualiti kehidupan komuniti di Sabak Bernam, khususnya petani dan pesawah yang bakal meraih manfaat dalam pelbagai aspek pertanian, keusahawanan dan kehidupan," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Matlamat UiTM Living Lab adalah untuk menjadikan komuniti Sabak Bernam sebagai komuniti angkat bertujuan untuk memperkasakan kualiti kehidupan, sosioekonomi, pendidikan, pertanian, agropelancongan dan kesejahteraan komuniti tersebut melalui penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan oleh penyelidik UiTM.

 

Sehubungan itu, Program Leaders Engagement with UiTM Living Lab @Sungai Panjang Community dibentuk sebagai salah satu strategi dalam melaksanakan aspirasi UiTM Living Lab @ Sungai Panjang dengan mengkhususkan kepada bidang pertanian dan agrotourism. 

 

 

uitm

 

 

Program itu bertujuan untuk memberikan pendedahan komitmen kepada penyelidik terkehadapan UiTM tentang permasalahan komuniti penanam padi di Sungai Panjang dan memberi cadangan rumusan bersesuaian dapat ditawarkan pihak universiti. 

 

Selain itu, program tersebut juga bakal merancang dan melaksanakan secara kolektif dan sistematik cadangan penyelesaian terhadap permasalah yang dihadapi rakyat. 

 

 

uitm

 

 

Seterusnya membangunkan pelan jaringan komunikasi jangka panjang yang efektif di antara universiti, industri dan komuniti bagi menghidupkan UiTM Living Lab @ Sungai Panjang Selangor. - DagangNews.com