Saham hak Iconic Worldwide terlebih langgan, jana hasil RM95.6 juta | DagangNews Skip to main content

Saham hak Iconic Worldwide terlebih langgan, jana hasil RM95.6 juta

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 19 April - Iconic Worldwide Berhad (Iconic Worldwide) memaklumkan terbitan hak dengan waran Kumpulan itu telah terlebih langgan.

 

Menurut syarikat pelancongan, pembangunan hartanah dan pembuatan peralatan perlindungan diri (PPE) itu, penerimaan sah dan lebihan permohonan berjumlah 1.125 bilion saham hak, berbanding 1.124 bilion yang disediakan untuk langganan.

 

Pelaksanaan ini terdiri daripada 1,124 bilion saham hak berdasarkan 2 saham hak untuk setiap 1 saham Iconic Worldwide sedia ada yang disertakan dengan 749.8 juta waran percuma berdasarkan 2 waran untuk setiap 3 saham hak yang dilanggan. 


 
"Saham hak dan waran dijadualkan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad pada 25 April 2024," kata kenyataan media Iconic Worldwide hari ini. 

 

Menurut Kumpulan itu, hasil daripada pelaksanaan tersebut akan digunakan untuk mempercepatkan pengembangan Kumpulan melalui pemerolehan bank tanah di lokasi strategik dan pelaburan modal kerja, selain menambah baik tahap penggearan dan kedudukan kewangannya.

 

 

James Tan Cho Chia
                            James Tan Cho Chia

 


 
Sementara itu, Pengarah Urusan Iconic Worldwide, James Tan Cho Chia berkata, langganan berlebihan itu menunjukkan keyakinan yang ketara dalam trajektori masa depan dan hala tuju strategik syarikat. 

 

"Pemerolehan aset tanah ini menandakan langkah penting dalam mengembangkan portfolio hartanah kami.

 

"Dengan kedudukan kunci kira-kira yang lebih baik dan kuasa kewangan untuk memacu pertumbuhan, kami berada pada kedudukan yang baik untuk memberikan nilai yang lebih besar kepada para pemegang saham kami," jelasnya.
 

Daripada RM95.6 juta hasil kasar yang diperoleh, sehingga RM39.8 juta atau 41.6% daripada hasil itu akan digunakan untuk mengambil alih Goldenluck Development Sdn Bhd (Goldenluck), yang memiliki sebidang tanah pegangan bebas berkeluasan 15 ekar.

 

Dinilai RM45.7 juta oleh Henry Butcher Malaysia (Pulau Pinang) Sdn Bhd, tanah Goldenluck terletak bersebelahan dengan kawasan kediaman dikenali sebagai Green Garden di Jalan Paya Terubong, Pulau Pinang.
 

"Mercu tanda terkenal di sekitar termasuk Pasar & Kompleks Makanan Taman Terubong Jaya, Pusat Perniagaan Pine Valley, Kompleks Goldhill, Pasaraya EconSave, Kompleks Sukan Permata, Balai Bomba Dan Penyelamat Paya Terubong dan cadangan Sunway Valley City oleh Kumpulan Sunway. 

 

"Walaupun aset tanah Goldenluck kini dizonkan sebagai tanah bukit, Kumpulan bercadang untuk memohon kepada pihak berkuasa negeri Pulau Pinang untuk menukarkannya kepada zon pembangunan projek pembangunan kediaman," katanya.


 
Tambah Kumpulan itu, bagi hasil selebihnya, 39.4% akan digunakan untuk pembayaran balik pinjaman bank, 17.4% untuk modal kerja dan 1.6% untuk perbelanjaan yang berkaitan dengan pelaksanaan korporat ini. 

 

"Ini akan meningkatkan kedudukan kewangan Kumpulan dan keupayaannya untuk merebut peluang pengembangan dengan pantas apabila ia timbul pada masa hadapan," ujarnya.- DagangNews.com