Saham MAHB digantung, dipercayai umum jadi syarikat persendirian | DagangNews Skip to main content

Saham MAHB digantung, dipercayai umum jadi syarikat persendirian

KUALA LUMPUR 15 Mei - Dagangan dalam sekuriti Malaysia Airports Holdings Bhd, yang harga sahamnya meningkat kepada paras tertinggi RM10.44 semalam, digantung dari 9 pagi hingga 5 petang hari ini sementara menunggu pengumuman rasmi.

 

Harga dagangan terakhirnya pada RM10.44 pada hari Selasa melebihi harga sasaran konsensus penganalisis RM9.71.

 

Terdapat sembilan panggilan "beli", lapan "tahan" dan satu penarafan "jual" seperti yang dipetik oleh penganalisis di Bloomberg.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia pagi ini, pengendali lapangan terbang itu berkata Bursa Malaysia Securities telah meluluskan permintaannya untuk penggantungan dagangan.

 

Pemberhentian dagangan berlaku berikutan laporan rancangan untuk menswastakan MAHB bakal diumumkan.

 

Memetik sumber, mingguan The Edge Malaysia dalam edisi 8-14 April 2024 berkata rancangan sedang dibuat oleh beberapa pemegang saham besar MAHB untuk menjadikan pengendali lapangan terbang itu sebuah entiti persendirian.

 

Mingguan itu berkata kedua-dua dana kekayaan negara Khazanah Nasional Bhd, yang mempunyai 33.24% kepentingan dalam MAHB, dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), yang mempunyai 7.04% kepentingan ekuiti, akan memainkan peranan penting dalam proses tersebut.

 

Kemudian sebanyak 30% kepentingan dalam MAHB akan diserahkan kepada pelabur infrastruktur Global Infrastructure Partners (GIP)l (GIP).

 

Walaupun beberapa sumber mengatakan Khazanah mungkin menjual 33.24% pegangannya dalam MAHB kepada KWSP, yang akan mencetuskan tawaran am mandatori, seorang jurucakap Khazanah menafikan langkah sedemikian. - DagangNews.com