Saham perbankan kurangkan kejatuhan KLCI | DagangNews Skip to main content

Saham perbankan kurangkan kejatuhan KLCI

Saham perbankan kurangkan kejatuhan KLCI

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 4 Mac. - Pasaran tempatan hari ini gagal menunjukkan momentum yang tinggi apabila FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup pada 1,581.3 mata, susut 0.5%.

 

Indeks berkenaan adalah lebih rendah berbanding pembukaan awal pagi tadi pada 1,588.89 mata.

 

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, sektor perbankan dilihat menjadi pembantu bagi mengelakkan KLCI mencatatkan kerugian yang lebih tinggi hari ini susulan kaunter sarung tangan getah yang merosot di tengah-tengah pelancaran vaksin.

 

Jelasnya, sektor perbankan mula menjadi perhatian pelabur susulan pengumuman Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang tidak berubah pada 1.75% oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

 

"Pengekalan OPR berbanding pemotongan lanjut merupakan berita yang positif buat sektor perbankan kerana tekanan yang lebih rendah dikenakan pada faedah margin bersih.

 

"OPR yang dikekalkan secara umumnya adalah baik bagi indeks FBM KLCI kerana sektor perbankan manjadi indeks utama yang menyumbang lebih daripada 20.0% daripada keuntungan KLCI," jelasnya kepada DagangNews.com.

 

Bagi pasaran saham Eropah, Bloomberg memberitahu, pasaran saham Eropah mengalami kejatuhan pada Khamis, sementara niaga hadapan Amerika Syarikat (AS) berada pada kedudukan stabil susulan hasil perbendaharaan yang baik berikutan turun naik bon yang diperbaharui.

 

Indeks Stoxx 600 bagaimanapun merosot 0.5% susulan kedudukan harga emas yang menghampiri paras terendah bagi tempoh sembilan bulan.

 

Niaga hadapan S&P 500 dan Nasdaq 100 pula menunjukkan pemulihan berbanding kemerosotan semalam.

 

Ia susulan daripada hasil perbendaharaan semalam yang menghampiri 1.5% serta kenaikan jangkaan inflasi.

 

Dalam laporan sama, Bloomberg memberitahu, Indeks MSCI Inc. Asia Pasifik mengalami penurunan terburuk minggu ini apabila sektor teknologi yang terpaksa bergelut, sementara saham hartanah, kewangan dan tenaga masing-masing kekal mengungguli. - DagangNews.com