Gambar hiasan
Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 11 Ogos - Firma penyelidikan, AmInvestment Bank Research (AmInvest) melihat penilaian saham-saham dalam sektor penjagaan kesihatan kini tidak lagi menarik, walaupun firma itu positif terhadap prospek pemulihan dan pertumbuhan pemain industri tersebut.
AmInvest seterusnya meletakkan penarafan ‘neutral’ ke atas sektor berkenaan untuk tempoh 12 bulan akan datang.
“Kami berpendapat bahawa pertumbuhan penyedia penjagaan kesihatan dalam tempoh beberapa tahun susulan prospek positif telah dicerminkan oleh harga (saham) semasa.
“Sama juga seperti sentimen vaksinasi yang mendorong kepada penarafan positif untuk beberapa kaunter farmaseutikal, (mereka) kini mempunyai ruang terhad untuk meningkat lebih lanjut,” jelas firma itu dalam satu nota kajian.
Melangkah ke tahun hadapan, AmInvest menjangkakan pemain industri bakal menyaksikan pemulihan dalam jumlah pesakit, permintaan pesakit yang tertangguh bagi rawatan berkos tinggi serta sumbangan hasil diagnostik yang baik.
Bagaimanapun, pada tahun ini, mereka dijangka terjejas akibat kadar penghunian yang rendah susulan penularan pandemik COVID-19, walaupun pemberian suntikan vaksin swasta dan perkhidmatan COVID-19 berkaitan akan mendatangkan lonjakan kecil dalam perolehan lemah mereka.
Dalam pada itu, kadar pengambilan insurans kesihatan dan kuasa perbelanjaan yang merosot juga bakal mendatangkan beberapa tekanan ke atas sektor tersebut.
“Pesakit yang berpendapatan rendah hingga sederhana kebanyakannya bergantung kepada insuran kesihatan pekerja untuk membayar bil perubatan mereka.
“Penjagaan kesihatan awam mungkin merupakan pilihan yang lebih baik dan dapat dilaksanakan untuk segmen pelanggan ini memandangkan beban pesakit Kementerian Kesihatan kembali ke paras normal selepas program vaksinasi.
“Namun, kami masih bimbang sekiranya ini akan menyebabkan kejatuhan ketara dari segi perolehan sektor tersebut, walaupun situasi itu menunjukkan sumbangan pendapatan yang lebih besar dari pesakit berpendapatan rendah di kawasan kurang mewah,” kata firma itu lagi.
Kadar penularan varian Delta yang pantas telah memburukkan situasi pandemik COVID-19 di dalam negara, dan dalam masa sama kadar vaksinasi mencatatkan paras lebih tinggi.
Pelaksanaan beberapa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini tidak berjaya, maka, AmInvest percaya sebarang percubaan sekatan pergerakan berikutnya bakal mendatangkan hasil yang sama.
Satu-satunya jalan keluar adalah dengan mencapai imuniti kelompok, tegas firma itu.
“Situasi pandemik COVID-19 Malaysia masih lagi suram, memandangkan kadar positif iaitu 7% masih lagi tinggi (kadar 1% hingga 3% menunjukkan pandemik terkawal).
“Kami percaya penurunan dalam kes COVID-19 yang dilaporkan tidak menunjukkan penambahbaikan, berikutan kadar ujian saringan yang rendah serta individu yang tidak bergejala menyumbang 60% daripada kesemua penularan,” jelas firma itu. - DagangNews.com