Saham YTL Power, Ranhill digantung 28 Mei sementara menunggu pengumuman, dipercayai libatkan peralihan saham kawalan | DagangNews Skip to main content

Saham YTL Power, Ranhill digantung 28 Mei sementara menunggu pengumuman, dipercayai libatkan peralihan saham kawalan

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 28 Mei - Pengeluar kuasa bebas YTL Power International Bhd dan Ranhill Utilities Bhd meminta saham mereka digantung mulai 9 pagi hari ini, sementara menunggu pengumuman rasmi di Bursa Malaysia.

 

Dagangan dalam waran berstruktur berkaitan Ranhill juga digantung, menurut makluman berasingan di Bursa Malaysia.

 

YTL Power muncul sebagai pemegang saham besar Ranhill pada 1 Nov 2023 selepas ia memperoleh 243.33 juta saham, bersamaan dengan 18.87% kepentingan, daripada Cheval Infrastructure Fund LP.

 

Berikutan pengumuman itu, spekulasi bertiup kencang bahawa YTL Power bakal memperoleh pegangan saham kawalan dalam Ranhill, memandangkan hak eksklusifnya terhadap bekalan air Johor dan pendedahannya dalam sektor kuasa Sabah.

 

Ranhill juga sedang giat berusaha untuk mengembangkan kehadirannya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) melalui loji solar berskala besar (LSS4) 50MW yang akan beroperasi tidak lama lagi di Bidor, Perak.

 

Begitu juga, YTL Power juga sedang membina kehadirannya di Johor dan RE melalui fasa pertama pusat data 72MW dan ladang solar 500MW yang akan datang di Kulai, Johor.

 

YTL Power juga sebelum ini telah menunjukkan minat untuk mengambil bahagian dalam eksport RE ke Singapura, sementara menunggu rangka kerja eksport RE dimuktamadkan oleh kerajaan.

 

Buat masa ini, pengerusi dan ketua eksekutif Ranhill Tan Sri Hamdan Mohamad memegang bahagian terbesar kumpulan itu dengan jumlah pegangan saham langsung dan tidak langsung sebanyak 31.42%.

 

Hamdan ialah pengasas kumpulan Ranhill dan telah mengawal sejak ia mengambil alih status penyenaraian Symphony House Bhd pada Disember 2015.

 

Menurut Bloomberg, pemegang saham besar lain dalam Ranhill termasuk United Overseas Bank Ltd, dengan 9.09% kepentingan, dan Permodalan Darul Ta'zim Sdn Bhd, sebuah syarikat milik penuh kerajaan negeri Johor, dengan 9.07% kepentingan.

 

Pada penutupan pasaran Isnin, saham Ranhill naik 12 sen, atau 8.28%, pada RM1.57 untuk permodalan pasaran RM2.04 bilion, manakala YTL Power naik satu sen atau 0.2% kepada RM4.96 untuk permodalan pasaran RM40 .66 bilion. - DagangNews.com