Samaiden dipilih sebagai pengeluar tenaga solar CGPP dengan kapasiti 43.32MWac | DagangNews Skip to main content

Samaiden dipilih sebagai pengeluar tenaga solar CGPP dengan kapasiti 43.32MWac

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 10 Nov - Samaiden Group Bhd telah dipilih sebagai salah satu pengeluar tenaga solar di bawah Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP) oleh Suruhanjaya Tenaga.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pakar tenaga boleh diperbaharui itu berkata anak syarikatnya, Samaiden Sdn Bhd (SSB) telah dianugerahkan kapasiti eksport individu sebanyak 13.42 megawatt (MWac) di bawah CGPP,

 

Selain itu, SSB, dalam sebuah konsortium dengan Premier Supreme Sdn Bhd, juga telah memperoleh kuota 29.90 MWac, menjadikan jumlah kapasiti yang diperoleh kepada 43.32 MWac.

 

Menurut Samaiden, jumlah kuota 800 MWac di bawah CGPP kini telah dilanggan sepenuhnya susulan pengumuman Suruhanjaya Tenaga mengenai pemilihan pengeluar tenaga solar yang berjaya daripada permohonan kumpulan kedua.

 

Samaiden muncul sebagai salah satu daripada 10 calon yang berjaya daripada kumpulan 46 pemohon, di mana kumpulan kedua ini memperoleh sejumlah 236.58 MWac kapasiti eksport daripada kuota 800 MWac di bawah CGPP berkenaan.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Samaiden, Chow Pui Hee berkata syarikat itu berbesar hati diiktiraf oleh Suruhanjaya Tenaga dan mengambil bahagian dalam inisiati transformasi hijau tersebut.

 

 

Chow Pui Hee
Chow Pui Hee

 

 

“Pemilihan ini adalah bukti dedikasi dan kecemerlangan teknikal pasukan kami yang tidak berbelah bagi dalam bidang tenaga boleh diperbaharui.

 

"Kami teruja untuk menyalurkan kepakaran kami ke dalam projek ini dan menjadi contoh untuk amalan lestari dalam industri," tambahnya.

 

Tarikh operasi komersial yang disasarkan untuk kedua-dua loji tenaga solar adalah pada 2025.

 

Pada pukul 9:18 pagi ini, saham Samaiden telah menokok 4 sen atau 3.4% kepada RM1.21 dengan permodalan pasaran sebanyak RM495.9 juta.  - DagangNews.com