Sambungan projek MRT3 'berita baik' sektor hartanah | DagangNews Skip to main content

Sambungan projek MRT3 'berita baik' sektor hartanah

MRT3-Hartanah

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 5 April - Sambungan semula Projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) di Lembah Klang bermula pertengahan tahun ini merupakan berita baik buat sektor hartanah.

 

RHB Research berkata, pembinaan semula MRT3 yang juga dikenali sebagai Circle Line itu dipercayai memberi nilai tambah kepada pembeli dan pelabur hartanah.

 

"Walaupun infrastruktur di pusat bandar sudah cukup maju dan rancangan pembangunan Circle Line ini bukanlah perkara baharu, kami percaya pembeli dan pelabur hartanah akan tetap menyambut baik projek berkenaan yang mampu meningkatkan perhubungan dan akses yang lebih jauh.

 

"Lebih penting lagi, seiring kelulusan Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Negeri Pulau Pinang baru-baru ini, perkembangan positif MRT3 yang diumumkan kerajaan harus diterima baik.

 

"Ia menandakan usaha serius kerajaan dalam memulihkan ekonomi setelah dilanda COVID-19 tahun lalu," jelas RHB Research dalam satu nota kajian berkaitan hartanah hari ini.

 

Beberapa hari lalu, kerajaan menerusi Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong memberitahu, kebinet telah memberi laluan sambungan semula pembinaan projek MRT3.

 

MRT3 dirancang bagi menyediakan gelung perjalanan dan menghubungkan lokasi-lokasi utama di kawasan perniagaan Kuala Lumpur.

 

Dalam laporan media tempatan, projek berkenaan berkemungkinan akan mempunyai stesen di Bukit Kiara (persimpangan dengan MRT Kajang), Segambut Tengah (persimpangan dengan KTMB), Sentul Barat (persimpangan dengan laluan MRT Putrajaya), Sentul Timur (persimpangan dengan LRT Ampang) dan stesen Setiawangsa (persimpangan dengan laluan LRT Kelana Jaya).

 

Selain stesen tersebut, projek berkenaan dikatakan turut menyediakan stesen Bandar Malaysia Selatan (persimpangan dengan MRT Putrajaya), Mid Valley (persimpangan dengan KTMB) dan stesen Kerinchi (persimpangan dengan LRT Kelana Jaya).

 

Dalam nota kajian sama, RHB Research memberitahu, hartanah mewah dijangka akan kembali mengambil tempat dalam industri.

 

Ujarnya, permintaan bagi hartanah mewah terhenti selama bertahun-tahun kerana fokus pemaju diletakkan kepada projek permahan kelas menengah dan berkemampuan. - DagangNews.com