Sambutan Hari Koperasi Negara 2023 di Sabah catat jualan dan prospek perniagaan hampir RM50 juta | DagangNews Skip to main content

Sambutan Hari Koperasi Negara 2023 di Sabah catat jualan dan prospek perniagaan hampir RM50 juta

Datuk Ewon Benedick menyampaikan hadiah motosikal kepada pemenang bertuah sempena sambutan HKN'23 di Kota Kinabalu, Sabah, baru-baru ini. - Gambar Sabah Media
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Julai - Sambutan Hari Koperasi Negara 2023 (HKN'23) yang berlangsung pada 21 hingga 23 Julai di Sabah International Convention Centre (SICC) Kota Kinabalu berjaya mencatatkan jualan dan prospek perniagaan sebanyak RM48.37 juta.

 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM46.9 juta adalah prospek perniagaan melalui 44 sesi padanan perniagaan. 

 

"Manakala Jualan Koperasi/Usahawan berjumlah RM1,215,090, Jualan MADANI berjumlah RM154,284 dan jualan food truck berjumlah RM101,459. Keseluruhan jumlah jualan tunai RM1,470,832. 

 

"Jumlah pengunjung yang direkodkan sepanjang 3 hari penganjuran adalah seramai 10,069, manakala sebanyak 219 reruai agensi kerajaan, swasta, usahawan dan koperasi terlibat dalam karnival jualan dan gerai pameran," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Terdahulu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor merasmikan sambutan HKN'23 anjuran KUSKOP melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

 

Pelbagai aktiviti berkaitan keusahawanan diadakan antaranya 'Pocket Talk', khidmat nasihat perniagaan, bicara niaga inklusif dan kuiz keusahawanan. Selain itu, aktiviti-aktiviti lain turut disediakan untuk pengunjung seperti persembahan artis, 'Coop Explorace', 'Voice of Coop' dan zumba.

 
Turut dianjurkan Pertandingan Video Kreatif dan Bicara Perdana “Koperasi, Menjejak Berkah Menggarap Hikmat” dan Malam Kerohanian: Persembahan Nasyid dan Tarian Kebudayaan.” 

 

 

kuskop

 

 

Sepanjang penganjuran tiga hari HKN’23, masyarakat setempat telah mendapat limpahan ekonomi daripada kehadiran anggota koperasi seluruh negara seperti industri perhotelan, pelancongan dan pengangkutan. 

 

Gerakan koperasi seluruh negara berjaya meningkatkan rangkaian kerjasama dengan pelbagai pihak menceburi pelbagai aktiviti perniagaan dan meningkatkan pendapatan koperasi.

 
Sementara itu, statistik gerakan koperasi sehingga Disember 2022 adalah pengumpulan modal syer dan yuran adalah berjumlah RM17 bilion dan penjanaan aset pula berjumlah RM160 bilion. 

 

Sumbangan perolehan koperasi mencecah RM45.5bilion. Ini menjadikan penyumbang ketiga terbesar kepada ekonomi negara selepas sektor kerajaan dan swasta. - DagangNews.com