Sambutan Hari Statistik Negara tingkatkan kesedaran kepentingan statistik kepada masyarakat, negara - DOSM | DagangNews Skip to main content

Sambutan Hari Statistik Negara tingkatkan kesedaran kepentingan statistik kepada masyarakat, negara - DOSM

Gambar NAIM AZIZ/DagangNews
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 Okt - Hari Statistik Negara yang disambut setiap tahun adalah bagi meningkatkan kesedaran tentang pentingnya statistik dalam kehidupan masyarakat dan negara, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

DOSM berkata, selain itu, sambutan Hari Statistik Negara memberi ruang kepada masyarakat untuk melihat keunikan dan kesenian statistik dengan melibatkan diri dalam aktiviti yang dianjurkan oleh jabatan itu.

 

Katanya, pelaksanaan Hari Statsitik Negara selaras dengan saranan United Nations Statistical Commission (UNSC) supaya setiap negara menganjurkan Hari Statistik sama ada di peringkat negara atau peringkat serantau. 

 

Terdahulu, United Nations General Assembly (UNGA) kali ke-64 telah mengisytiharkan Hari Statistik Sedunia disambut buat julung kalinya pada 20 Oktober 2010. 

 

"Manakala, DOSM selaku penjana statistik rasmi negara melalui persetujuan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 27 September 2017 supaya Hari Statistik Negara disambut pada 20 Oktober setiap tahun. 

 

"Ini membuktikan bahawa kerajaan menghargai dan mengiktiraf peranan dan sumbangan ahli statistik di Malaysia terutamnya DOSM. Peranan ini akan diteruskan bagi memastikan penggubal dasar dapat merangka polisi dan menganalisis keberkesanannya berdasarkan statistik yang komprehensif dan terperinci," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Terdahulu, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron mewakili menterinya, Rafizi Ramli bagi merasmikan sambutan Hari Statistik Negara (HSN) di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor.

 

 

DOSM

 

 

Turut hadir Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, pegawai-pegawai kanan agensi kerajaan negeri, wakil-wakil agensi kerajaan lain serta komuniti penduduk Sabak Bernam.

 

Menurut kenyataan itu, Hari Statistik Negara bakal diraika segenap lapisan masyarakat tidak kira bangsa, peringkat umur, pekerjaan mahupun status dalam masyarakat. 

 

Di samping itu katanya, pembekal dan pengguna statistik seperti agensi kerajaan dan swasta, institusi pendidikan, komuniti perniagaan, individu serta para penyelidik juga sama-sama akan menyambut Hari Statistik Negara kerana statistik adalah 'keperluan' setiap individu. 

 

"Selaras dengan sambutan Hari Statistik Negara bertemakan 'Statistik Nadi Kehidupan' pada tahun ini, DOSM bersama agensi pengamal statistik lain telah menyusun pelbagai program dan aktiviti di peringkat negeri sehingga kepada komuniti di daerah," katanya.

 

Antara program dan aktiviti yang telah dirancang adalah Persidangan Statistik ke-10, Malaysia Data Innovation Talent x DOSM Datathon 2023, Debat Statistik, Stats Prihatin, Stats Fit, Stats Kuiz, Sesi Literasi Statistik bersama Institut Pengajian Tinggi (IPT), Forum bersama Pemain Industri dan Forum Perdana Ehwal Islam. - DagangNews.com