Sand Nisko Capital meterai perjanjian dengan Evergreen More bangunkan Bandar Meswara bernilai RM1.75 bilion di Alor Gajah | DagangNews Skip to main content

Sand Nisko Capital meterai perjanjian dengan Evergreen More bangunkan Bandar Meswara bernilai RM1.75 bilion di Alor Gajah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Mei - Sand Nisko Capital Berhad menerusi anak syarikatnya, Len Cheong Industries Sdn. Bhd. menandatangani Perjanjian Utama (HOA) bersama Evergreen More Sdn. Bhd. bagi menyatakan komitmen untuk mewujudkan kerjasama bagi melaksanakan projek pembangunan guna campur bernilai RM1.75 bilion yang dikenali sebagai Bandar Meswara di Alor Gajah, Melaka.

 

Evergreen More merupakan pemilik tiga lot tanah pajakan berkeluasan 210 hektar selain telah mewujudkan rancangan pembangunan dan berhasrat untuk bekerjasama dengan rakan strategik untuk melaksanakan dan menyelesaikan pembangunan itu.

 

Menerusi perjanjian itu, kedua-dua syarikat akan bekerjasama untuk menjala projek Bandar Meswara dalam tiga fasa.

 

Kumpulan itu berkata, Fasa 1 merangkumi pembangunan 294 unit pejabat kedai dua tingkat, 36 unit lot kedai dua tingkat, empat unit restoran pandu lalu dua tingkat, dewan konvensyen, perkampungan budaya dan pasar raya besar

 

"Fasa 2 kedua pula merangkumi pembinaan 2,920 unit kediaman yang terdiri daripada satu tingkat rumah teres kos rendah dan kos sederhana rendah, rumah teres kos sederhana satu tingkat dan dua tingkat

 

"Fasa 3 pula melibatkan pembangunan 45 unit banglo dua tingkat dan 660 unit rumah berkembar dua tingkat berserta kampus universiti," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

HOA itu akan membenarkan pihak telibat bekerjasama secara eksklusif dengan terma-terma penting yang berkaitan dengan komitmen masing-masing mengenai reka bentuk, pembangunan dan pembinaan cadangan pembangunan dengan niat untuk memasuki Perjanjian Definitif.

 

Lembaga Pengarah percaya bahawa HOA mempunyai potensi dan akan menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan kumpulan dan meningkatkan kedudukan kewangan kumpulan sekiranya projek itu menjadi kenyataan.

 

"HOA itu tidak akan memberi sebarang kesan ke atas modal saham dan pegangan saham pemegang saham yang utama kumpulan dan ia juga tidak akan memberi sebarnag kesan material segera ke atas aset bersih serta pendapatan kumpulan," katanya. - DagangNews.com