Sapura Energy peroleh pembiayaan semula hutang bernilai RM10.3 bilion | DagangNews Skip to main content

Sapura Energy peroleh pembiayaan semula hutang bernilai RM10.3 bilion

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Mac - Syarikat perkhidmatan tenaga bersepadu, Sapura Enegry Berhad mengumumkan anak syarikat milik penuhnya telah menandatangani beberapa perjanjian kemudahan pembiayaan pelbagai mata wang (MCF 2021) untuk membiayai semula pinjaman sedia ada.

 

Sapura Energy dalam sebuah kenyataan memberitahu, MCF 2021 yang telah ditandatangani dengan konsortium bank Malaysia, serantau dan antarabangsa menyediakan pembiayaan dengan nilai terkumpul kira-kira RM10.3 bilion bagi tempoh tujuh tahun. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura Energy, Datuk Mohd. Anuar Taib berkata, langkah pembiayaan semula itu dan modal kerja bernilai RM1.2 bilion yang diumumkan sebelum ini menyediakan syarikat sumber kewangan, tepat pada masanya dalam pasaran tenaga yang sedang pulih. 

 

“Ini membolehkan kami meneruskan rekod prestasi dalam memenangi kontrak minyak dan gas baharu serta meneroka peluang sedang membangun dalam sektor tenaga boleh diperbaharui,” kata Mohd. Anuar yang mula memegang jawatan itu berkuatkuasa 23 Mac baru-baru ini.

 

Mohd. Anuar Taib
Mohd. Anuar Taib

 

Beliau dalam masa sama mengucapkan terima kasih kepada bank penyelaras, Maybank dan CIMB Bank yang juga merupakan bank yang mengambil bahagian selain RHB Bank, AmBank, EXIM Bank Malaysia, United Overseas Bank, ING Bank, Sumitomo Mitsui Banking Corporation, Standard Chartered Bank dan First Abu Dhabi Bank.

 

Kumpulan syarikat itu menjelaskan, pembiayaan tersebut merangkumi Perjanjian Kemudahan Konvensional dan terbitan lanjut Sukuk Murabahah yang tidak dinilai di bawah Program Sukuk Pelbagai Mata Wang, diumumkan pada tahun 2015.

 

Baca : Bekas eksekutif atasan Petronas ganti Shahril, terajui Sapura Energy 

 

Katanya, pembiayaan semula itu adalah sebahagian daripada program pengurusan modal kumpulan untuk menambahkan tempoh matang hutangnya.

 

Sapura Energy baru-baru ini mengumumkan kemenangan kontrak global bernilai RM1.85 bilion, menunjukkan ketahanan kumpulan syarikat dalam merebut peluang di pasaran yang boleh dicapai.

 

Setakat 4.51 petang, nilai saham Sapura Energy menokok 3.45% daripada 0.145 sen kepada 0.150 sen. - DagangNews.com