Sapura, SCS gabung kepakaran perkukuh keupayaan perintah kawalan ATM untuk kurangkan kebergantungan teknologi asing | DagangNews Skip to main content

Sapura, SCS gabung kepakaran perkukuh keupayaan perintah kawalan ATM untuk kurangkan kebergantungan teknologi asing

Gambar Twitter Tentera Darat Malaysia
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Mei - Dua penyedia rumusan teknologi pertahanan terkemuka di Malaysia memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dalam membangunkan sistem yang akan mengukuhkan keupayaan perintah dan kawalan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi mengurangkan kebergantungan tentera kepada teknologi asing.

 

Sapura Secured Technologies Sdn Bhd (SST) dan System Consultancy Services Sdn. Bhd (SCS) akan menggabungkan kepakaran masing-masing untuk mereka bentuk, membangun dan mempromosikan rumusan arahan dan kawalan termaju.

 

Penggabungan kepakaran itu secara khususnya akan memenuhi matlamat ATM menggabungkan infrastruktur arahan dan kawalannya ke dalam satu rangkaian misi bersepadu. 

 

Kedua-dua syarikat juga telah bersetuju untuk bekerjasama dalam menyelaraskan ujian lapangan dan pengurusan sistem yang dibangunkan bersama.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura, Tan Sri Shahril Shamsuddin berkata, kerjasama tersebut mencerminkan kecekapan dan pengetahuan bakat tempatan dalam teknologi digital dan ruang pertahanan.

 

“Melalui gabungan kekuatan kami, SST dan SCS mampu memanfaatkan sinergi dan kecekapan yang boleh mendorong inovasi teknologi peneraju pasaran, yang dibangunkan rakyat Malaysia untuk Malaysia, dalam penggunaan mempertahankan kedaulatan negara kita," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Turut hadir pada majlis itu, Pengasas dan Pengerusi Sapura, Tan Sri Shamsudin Abdul Kadir; Pengerusi Eksekutif SCS, Datuk Khalilur Rahman Ebrahim; Ketua Pegawai Operasi Keselamatan Awam dan Pertahanan Sapura, Shakir Badri Serpudin dan Pengarah Urusan Kumpulan SCS, Mat Asif Mahnoon.

 

Sementara itu, Khalilur Rahman pula berkata, pihaknya yakin SST dan SCS sebagai satu pasukan boleh membawa teknologi arahan dan kawalan ATM ke peringkat seterusnya sambil memudahkan matlamat Malaysia ke arah teknologi yang berdikari.

 

 

sapura
(Dari kiri) Shakir Badri Serpudin, Tan Sri Shahril Shamsudin, Tan Sri Shamsudin Abdul Kadir, Datuk Khalilur Rahman Ebrahim dan Mat Asif Mahnoon ketika memeterai MoU antara SST dan SCS sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA '23) pada 26 Mei 2023.

 

 

“Selain mengurangkan kebergantungan negara kita kepada teknologi asing dalam bidang kritikal keselamatan tanah air, kerjasama kami juga akan membolehkan ATM menyesuaikan diri dengan pantas perubahan pesat dalam teknologi supaya kekal kukuh dan berkesan sambil memacu industri pertahanan tempatan ke tahap lebih tinggi," katanya. - DagangNews.com