KUALA LUMPUR 18 Sept - Kenanga Research mengekalkan saranan ‘terima tawaran’ terhadap saham UMW Holdings Berhad dengan harga sasaran (TP) RM5, iaitu harga tawaran am mandatori (MGO) yang ditawarkan oleh Sime Darby Berhad, selepas melawat kompleks pembuatan bersepadu UMW Toyota di Bukit Raja, Klang baru-baru ini.
Firma penyelidikan itu berkata sejak lawatan terakhir pada 2019, UMW telah meningkatkan kecekapan pengeluarannya kepada satu kenderaan setiap sembilan jam, berbanding 12 jam empat tahun lalu.
Firma itu berkata kecekapan kilang tersebut telah meningkat dengan ketara sebanyak 21%, di mana kadar produk disiapkan berdasarkan tempahan telah dipendekkan kepada 4.5 minit daripada 5.7 minit, dan masih mendahului kilang Shah Alamnya iaitu pada 7 minit.
“Oleh itu, kilang berkenaan kini mampu mengeluarkan sebuah kereta dalam 9 jam atau 260 unit sehari serentak (kapasiti digunakan pada 120% hingga 130%), berbanding sebuah kereta dalam 12 jam atau 190 unit sehari pada 2019 (kapasiti digunakan pada 60% ).
“UMW mendedahkan bahawa lebihan kapasiti ditanggung disebabkan oleh penambahan Toyota Corolla Cross pada 2021 serta penambahan terbaru Vios serba baharu pada Mac 2023,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Ambil perhatian bahawa, kapasiti maksimum kilang Bukit Raja adalah 50,000 unit (dua syif) dengan simpanan tanah sedia untuk pengembangan sehingga 100,000 unit pada masa hadapan, tanpa menanggung perbelanjaan modal utama.
Kilang Bukit Raja direka khusus untuk menghasilkan sehingga platform segmen C (Vios, Yaris dan Corrola Cross), manakala kilang Shah Alam (berkapasiti 32,000 unit) adalah untuk kenderaan komersial (Hilux, Fortuner, Innova dan Hiace).
Menurut Kenanga Research, kilang terbabit adalah 2.4 kali ganda lebih besar daripada kilang lama Shah Alam, dengan ciri-ciri berpusatkan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Firma itu menyukai UMW kerana pasaran besar-besaran di bawah perniagaan automotifnya, iaitu Toyota dan Perodua, tetapi bukan tanpa model margin tinggi seperti Toyota Vios dan Perodua Alza.
Selain itu, UMW memiliki keterlihatan pendapatan yang kukuh disebabkan perniagaan automotifnya disokong menerusi tunggakan tempahan melebihi 240,000 unit kenderaan.
Firma itu juga berkata UMW mempunyai kadar peningkatan dalam perniagaan peralatan berat dan perindustrian serta pembuatan sarung kipas enjin aeroangkasa
Pada pukul 12 tengah hari ini, saham UMW telah turun 1 sen atau 0.2% kepada RM4.76 dengan permodalan pasaran sebanyak RM5.56 bilion. - DagangNews.com