Sarang Hostel Kota Kinabalu mampu bertahan semasa pandemik COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Sarang Hostel Kota Kinabalu mampu bertahan semasa pandemik COVID-19

Chen Kay Yee, pengusaha hostel Sarang di KK Times Square di Kota Kinabalu, Sabah.

 

 

Oleh DOMINIC G. JOSEPH
Melaporkan dari Sabah

 

 

KOTA KINABALU 22 Okt – Pengendali agensi pelancongan dan hotel Sabah menarik nafas lega dengan pengumuman kerajaan negeri yang membenarkan semua destinasi dan tapak pelancongan beroperasi semula bagi pelancong domestik untuk daerah yang sama atau secara gelembung perjalanan.

 

Pengusaha hostel Sarang di KK Times Square, Chen Kah Yee memulakan perniagaan pada Januari 2020, dua bulan sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi menghadapi COVID-19 dikuatkuasakan, antara mereka yang gembira dengan kelonggaran terbaharu itu.

 

Mengimbas kembali detik-detik yang cukup mencabar tersebut dan keupayaan perniagaan itu terus `hidup’ sehingga sekarang, Chen berkata, sebelum pandemik COVID-19 mencapai tahap kritikal di Malaysia, pihaknya telah berusaha sedaya upaya untuk memasarkan jenama 'Sarang' ke seluruh dunia.

 

Menurutnya, hostel 'Sarang' telah mendapat tempahan melalui laman web seperti Agoda, AirBnB, Hostel World, Facebook, laman dalam talian dan lain-lain lagi. Selain daripada ini, pelbagai transaksi juga dijalankan hasil saranan daripada pemandu pelancong. 

 

Dan kemudian, pandemik melanda memaksa Chen mengubah strategi perniagaan dengan mempromosikannya sebagai tempat penginapan bagi wanita yang bekerja di sekitar kawasan Kota Kinabalu.

 

‘’Konsep yang baru ini mendapat sambutan yang positif. Wanita berasa selamat terutama faktor kebersihan hostel kami," katanya.  

 

 

sarang
Hostel Sarang juga jadi tumpuan pembikin filem atau iklan sebagai lokasi penggambaran.

 

 

Kini susulan kelonggaran pelancongan domestik di Sabah, Chen berkata, pihaknya mematuhi semua SOP yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Pelancongan Malaysia.

 

Selain itu ujar beliau, mesin kabus pembasmi kuman juga digunakan untuk memastikan hostel tersebut sentiasa bersih dan selamat. 

 

Chen yang merupakan graduan Sarjana Muda Sains dalam bidang Seni Bina dari Taylor's University, tidak akan berundur daripada perniagaan kerana matlamatnya sudah muktamad untuk menceburi bidang keusahawanan.

 

 

sarang

 

 

Mengenai pemilihan nama 'Sarang', beliau mendapat inspirasi dan ilham dari bunyi sebutan perkataan itu di dalam Bahasa Korea yang bermaksud 'cinta'.

 

Dalam Bahasa Melayu pula, makna 'Sarang' ialah 'tempat berteduh'. Di samping itu, reka bentuk dalaman premis yang menggunakan kayu dan rotan untuk menonjolkan konsep 'Sarang'.

 

 

sarang

 

 

Melangkah ke hadapan, Chen berkata, semua pihak perlu memastikan kesedaran sivik terhadap kebersihan dan sentiasa mengadakan jarak sosial, bagi melancarkan pemulihan ekonomi.

 

‘’Selain itu, komuniti perniagaan mesti mengamalkan konsep saling bekerjasama dengan rakan-rakan bisnes yang berpotensi yang boleh menarik perhatian pasaran baru," kata beliau. – DagangNews.com